Cepu (Garcinia prainiana ) sejenis tumbuhan
yang juga dikenali dengan nama cekau, cupak, mencupu, kecupu, ceghopu, cerapu
dan mungkin ada nama lain lagi kerana pokok kecupu cukup 'dekat' dengan
kehidupan masyarakat dulu.
Buahnya bewarna hijau tua semasa mudanya,
berubah menjadi hijau muda bila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan
seperti warna pinang masak apabila ianya masak. Tidak diketahui khasiat buah cupu, tetapi ia tetap menjadi pilihan orang
dahulu. Mungkin rasa masam-masam manis menjadikan ramai terpikat kepada buah cupu.
Buah cupu muda biasanya dijadikan
sebahagian sambal yang ditumbuk dengan ikan bakar dan sedikit kelapa parut.
Hidangan menu sambal buah cupu memang terkenal di Kelantan. Namun, disebabkan
sukar mendapat buah cupu, ia semakin tidak dikenali golongan muda.
Pokok cupu berbunga dan berbuah mengikut
musim. Buah cupu berbentuk bulat dan leper sedikit di bahagian atas dan
bawahnya. Di bahagian bawah buah terdapat bekas stigma yang besar berwarna
perang dan tidak luruh hingga buahnya masak.
Jika sudah masak, buah cupu rasanya masam
manis. Buah cupu mempunyai getah yang lekit, boleh melekatkan bibir atas dan
bibir bawah kita, tetapi tidak sukar untuk dibuang.
Tumbuhan ini adalah natif di Semenanjung
Malaysia dan Selatan Thailand walau pun terdapat juga di beberapa hutan tropika
yang lain dengan spesis yang berbeza.
Sekali pandang kalau kali pertama melihat
mungkin akan keliru dengan buah pisang kaki atau pesimon yang banyak dibawa
masuk dari China.
Cupu adalah jenis pokok saka seakan pokok
manggis yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dan merimbun. Batangnya
berkayu keras dengan bahagian dahan yang keluar dari paras bawah sehingga ke atas
pokok di mana ketinggian pokok mampu mencapai 7-10 meter.
Penanaman pokok cupu lazimnya menggunakan
biji yang boleh disemai dulu. Akar pokok cupu sangat sensitif dan mudah rosak.
Pastikan dibubuh sungkupan dan penanda pada lokasi penanaman. Kawasan yang
sesuai untuk pokok cupu berhasil tinggi adalah kawasan seperti tepi sungai,
tepi kolam di mana akar pokok kekal lembab sepanjang tahun.
No comments:
Post a Comment