Wednesday, 10 May 2023

China tanam durian beri kesan harga pasaran

 
China ada pengimport utama durian. China mengimport sebanyak 825,000 tan durian berjumlah RM17.732 billion setiap tahun dari beberapa pengeluar durian utama dunia seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Jumlahnya semakin meningkat setiap tahun disebabkan semakin banyak penduduk China berminat makan durian yang digelar raja buah itu.
 
Namun, pada masa akan datang, kadar import durian China dijangka tidak akan bertambah atau mungkin berkurangan disebabkan di negara berkenaan sendiri telah ada ladang mengelurkan durian sendiri.
 
Pada 2023, China dilapor akan mula menuai hasil durian mencecah ribuan tan metrik menerusi ladang-ladangnya yang terletak di wilayah Hainan. Ladang seluas 93 hektar sedia untuk dituai melibatkan hasil yang dianggarkan sekitar 2,450 tan metrik durian yang bakal memberi pulangan kepada peladang-peladang mencecah 140 juta Yuan (RM 91.36 juta).
 
Ladang durian yang sedia dituai itu merupakan sebahagian daripada 560 hektar ladang durian yang terletak di Tapak Penanaman Durian Ekologi Yucai, di Sanya.
 
Tapak penanaman tersebut dimiliki oleh Hainan Youqi Agricultural Company yang diasaskan sekitar 2018. Syarikat berkenaan kini muncul sebagai syarikat terbesar yang terlibat dalam industri durian di Hainan.
 
Syarikat berkenaan dilapor mengimport lebih 30 orang pakar penanaman durian dari Asia Tenggara dalam usahanya untuk membuka ladang tersebut. Malah, syarikat-syarikat tersebut turut melantik saintis terkenal tempatan seperti jurutera holtikultur dan juga agronomis untuk membantu mereka.
 
Selain itu, syarikat tersebut juga turut menjalinkan kerjasama dengan institut-institut penyelidikan tempatan dalam menghasilkan benih yang sesuai dengan cuaca tempatan. Antaranya, Chinese Academy of Sciences, Chinese Academy of Tropical Agricultural Sciences dan Hainan Academy of Agricultural Sciences.
 
Setakat ini, Youqi memiliki benih anak pokok merangkumi lebih dari 100 baka durian, yang mana sebahagiannya berasal dari Thailand, Malaysia dan Vietnam.
 
Buat masa sekarang, kira-kira 670 hektar tanah di Sanya telah dikhususkan bagi tanaman durian dan akan bertambah kepada 3,300 hektar dalam masa beberapa tahun lagi. Selain Sanya, ladang-ladang durian lain terletak di daerah Baoting, Ledong dan Lingshui.
 
Tahun 2023 akan menjadi tahun yang digeruni oleh pengusaha durian tempatan apabila media melaporkan China akan mengeluarkan keluaran pertama raja buah itu pada Jun depan.
 
Perkembangan baik penanaman durian di China sebenarnya memberi ancaman besar kepada negera pengeksport durian, termasuk Malaysia.
 
China mempunyai kekuatan dari segi kesungguhan untuk menghasilkan sendiri apa yang diperlukan oleh rakyat, jika ia sesuatu yang boleh dilakukan dan memberi keuntungan. Sekali kalau mereka dah mula hasilkan, memang susah dah mereka nak import. Bukan tidak mahu import langsung, masih import, tapi susah.
 
China sudah pasti akan cuba kembangkan industri durian ini untuk menghasilkan lagi banyak durian.
 
Sejak kebelakangan ini, pasaran durian dilihat sedang 'mendidih' dan boleh diibaratkan terdapat gelembung harga yang akan mengganggu harga raja buah tersebut dalam pasaran.
 
Meskipun masih mendapat permintaan hebat dari China, ia mungkin berkurangan setelah negara tersebut boleh menghasilkan buah tersebut.
 
Jika permintaan terhadap raja buah tempatan menurun, gelembung harga akan pecah menjadikan nilainya jatuh mendadak kerana berlaku lambakan buah yang tidak dieksport ke luar negara.

Kalau itu berlaku, rakyat Malaysia akan untung dapat makan durian dengan harga lebih murah, tetapi pengusaha ladang durian pula akan tanggung kurang pulangan untung. 

No comments:

Post a Comment