Monday 27 November 2017

Jenayah akidah sokong LGBT

Kumpulan atau individu mengamalkan atau menyokong amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.

Individu yang cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga dianggap melakukan jenayah akidah.

Ini termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.

Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah menerusi surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.’

Kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Justeru itu, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah serta Rasulullah itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang nyata.

Kenyataan sesetengah pihak mengenai undang-undang homoseksual negara itu bermotifkan politik iaitu mengharapkan sokongan daripada kumpulan yang berfikiran sekular serta liberal.

Pihak berkenaan cuba menonjolkan kepada masyarakat dunia terutamanya Barat bahawa beliau boleh bersifat terbuka dalam perjuangan hak asasi manusia termasuk dalam soal hubungan sejenis meskipun perkara itu jelas ditolak oleh semua agama.

Di negara ini kenyataan seperti itu mungkin boleh memberikan kelebihan politik daripada sekumpulan kecil kelompok masyarakat, tetapi bagi mereka yang waras ia adalah satu kenyataan yang melampau.

Sesungguhnya undang-undang mengenai homoseksual di negara kita tidak sepatutnya dipertikai kerana perbuatan itu ditegah oleh semua agama.

Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menunjukkan sokongan kepada gerakan yang cuba menghalalkan hubungan sejenis termasuk memilih pemimpin yang cenderung menyokong aktiviti seperti itu.  

Di manakah suara pemimpin yang sebelum ini mendakwa merekalah pejuang Islam tulen? Adakah mereka hanya mengambil sikap memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap perlakuan maksiat terbabit semata-mata kerana tidak mahu percanggahan pendapat sesama sendiri dalam usaha untuk mencapai matlamat masing-masing. 

Pemimpin Islam perlu bertindak secara jujur dan bukannya menganut fahaman ahli falsafah Itali, Niccolo Machiavelli yang menganjurkan prinsip matlamat menghalalkan cara.

Perbuatan homoseksual tetap haram dalam Islam dan individu yang melakukan perlakuan keji itu telah berdosa.

Ketetapan ini disebut oleh Allah di dalam al-Quran terutama dalam kisah Nabi Luth bersama kaum baginda yang ingkar.

'Oleh itu undang-undang negara (Kanun Keseksaan) yang mengharamkan perbuatan liwat wajib dipertahankan walaupun ada pihak menuduhnya lapuk dan tidak relevan. Walau apa yang berlaku kita wajib mempertahankan peruntukan ini.

Seluruh umat Islam di Malaysia perlu menunjukkan kesungguhan tidak berbelah-bahagi untuk menegakkan syiar Islam menegaskan perbuatan menghalalkan LGBT hanya akan menyebabkan negara huru-hara.

Kita bimbang jika pandangan terlalu liberal yang dibawa sesetengah pihak tidak dibendung, maka akan lahir golongan pelampau yang akan mengambil tindakan sendiri apabila merasakan undang-undang tidak lagi mampu mengekang kegiatan LGBT.

Ingatlah falsafah China mengenai keseimbangan alam antara yin (putih) dan yang (hitam). Jika kita terlalu liberal maka akan lahir golongan ekstremis untuk menyeimbaginya. Kalau ini terjadi, Malaysia pasti huru-hara.

No comments:

Post a Comment