Monday 19 February 2018

Guna wang digital sembunyai kegiatan haram

BANGKOK 18 Feb. - Pihak berkuasa Thailand kini mula memberi lebih tumpuan kepada “dark web” (laman web yang menyembunyikan alamat IP server) mata wang digital disebabkan peningkatan penggunaan mata wang kripto seperti Bitcoin oleh kumpulan penjenayah untuk menyembunyikan jejak transaksi wang haram mereka. 



Oleh kerana menyedari bahaya yang ditimbulkan oleh mata wang kripto yang sukar dikesan oleh penguatkuasaan undang-undang, Biro Anti Narkotik (NSB) telah melatih anggota penguatkuasanya mengenai selok-belok mata wang digital dan kesannya terhadap usaha memerangi sindiket dadah di negara itu.



“Jika semua sindiket dadah beralih menggunakan Bitcoin untuk urus niaga dadah, usaha untuk menjejaki transaksi wang haram akan menjadi lebih sukar. Kami tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam buat masa ini mengenai Bitcoin, jadi ia sangat mencabar,” kata ketuanya Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama di sini baru-baru ini.



Menurut beliau, NSB hanya menangani satu kes melibatkan penggunaan mata wang kripto sebelum ini tetapi menjangka lebih banyak sindiket dadah tempatan akan mengikut jejak langkah sindiket dadah antarabangsa yang menjadi rakan mereka dalam menggunakan Bitcoin dan mata wang digital yang lain.



Sommai berkata satu-satunya kes dadah dan Bitcoin di Thailand melibatkan seorang lelaki warga Kanada tetapi beliau tidak mengulas lanjut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment