Friday 23 February 2018

KOD QR SIMPAN MAKLUMAT LEBIH BANYAK

Kod QR (singkatan frasa Inggeris quick response) adalah sejenis kod bar generasi kedua. Ia merupakan sejenis penyimbolan dua dimensi yang telah dibangunkan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Denso Wave dan telah dikeluarkan pada tahun 1994. 

Kod QR dapat menyimpan maklumat lebih banyak berbanding Universal Product Code (UPC) biasa kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.

Kod ini terdiri daripada modul hitam (titik segi empat) disusun dalam pola segi empat pada latar putih. Penggunaan kod QR membolehkan maklumat dihantar dari dunia fizikal ke alat mudah alih.

Sejak diperkenalkan hampir suku abad lalu, penggunaan kod QR memberi kemudahan kepada pengguna dan pengusaha dalam pelbagai aspek meliputi pelbagai bidang.

Ia dibangunkan oleh sebuah syarikat di Jepun iaitu Denso Wave pada tahun 1994 bagi memenuhi keperluan industri automotif yang berkembang pesat pada masa itu.

Ia direka untuk membolehkan imbasan komponen berkelajuan tinggi sewaktu proses pembuatan kenderaan.

Kecekapan sistem imbasan menggunakan kod QR bagi mendapatkan maklumat menjadikan ia turut meraih populariti di luar bidang automatif.

Imbasan kod QR berupaya membaca data dengan cepat dan mempunyai kapasiti storan lebih besar berbanding UPC.

Hal tersebut menjadikan kod QR digunakan secara meluas terutama dalam bidang pemasaran. Tujuannya, pengguna atau pengusaha boleh mengesan produk, pengenalan barangan, pengesanan masa, pengurusan dokumen dan pemasaran umum.

Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR yang dicetak pada pek pembungkusan produk atau sepanduk perniagaan menggunakan aplikasi pengimbas yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar.

Kod tersebut akan dibaca dan dihubungkan terus ke pautan perniagaan tersebut sama ada laman web atau media sosial.

No comments:

Post a Comment