Friday 23 February 2018

MELAYU PERLU MELABUR DI BURSA SAHAM

Menurut statistik, kira-kira 240,000 bumiputera mempunyai akaun di Bursa Malaysia dengan peratusan keseluruhan sekitar 22 peratus. Penglibatan bumiputera dalam jual beli saham di Bersa Malaysia masih dianggap kecil.

Mereka yang terlibat dalam saham boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu pelabur yang membeli saham dan menyimpannya dalam tempoh tertentu.

Kategori kedua ialah pedagang saham melakukan urusan jual beli saham dalam jangka masa pendek secara kerap dan agresif. Mereka menyusun strategi tersendiri, mempunyai taktik dan melakukan analisis mendalam.

Dalam hal ini, pelabur saham berpeluang mendapat keuntungan sekurang-kurangnya melalui dua cara iaitu keuntungan modal. Dalam erti kata mudah, ia bermaksud beli murah jual mahal.

Pelaburan tidak memerlukan tempoh matang dengan urusan jual beli saham boleh berlaku bila-bila masa. Jika bernasib baik palabur telah mendapat untung setelah membeli beberapa minit dan terus menjual apabila harga naik.

Cara kedua pula melalui keuntungan dividen. Ia merujuk kepada pembahagian sebahagian keuntungan syarikat kepada pemegang saham. Dividen diagihkan berdasarkan prestasi operasi syarikat dan bukannya turun naik harga saham.

Hari ini, proses jual beli dapat dibuat melalui platform dagangan online dengan Bursa Malaysia menetapkan jumlah minimum pembelian 100 unit yang bersamaan dengan satu lot.

Pelaburan saham merupakan satu daripada platform pendapatan yang mampu memberi pulangan yang baik. Namun, sudah adat berniaga pastinya ada untung dan rugi.

Tapi orang kita tidak mahu rugi langsung, sebab itu mereka terjebak dengan skim cepat kaya kerana skim cepat kaya menjanjikan pulangan tanpa risiko. Itu bukan pelaburan tetapi peleburan.

Kerugian dalam skim cepat kaya mungkin melibatkan seluruh jumlah yang dilaburkan apabila penganjur melarikan diri. Namun, pelaburan di bursa saham agak selamat biarpun kemungkinan mengalami kerugian tetap ada.

Pelabur boleh mengelak kerugian atau meminimunkan kerugian jika memahami tentang ilmu pelaburan. Banyak agensi atau pihak mengadakan seminar atau kursus selok belok ilmu pelbaburan.

Mereka yang baru berjinak-jinak dengan pelaburan saham dinasihatkan supaya menggunakan wang lebihan untuk berbuat demikian supaya tidak mengganggu kedudukan kewangan masing-masing.

Sekurang-kurangnya jika berlaku kejatuhan ia tidak menjejaskan kewangan kita. Jika belum mahir melabur tidak sesuai melabur saham menggunakan wang pinjaman, hutang kad kredit atau mengambil wang yang diperuntukkan untuk komitmen lain seperti sewa rumah dan sebagainya.

Untuk memulakan membeli saham, seseorang itu perlu membuka akaun Central Depository Service (CDS) di mana-mana bank pelaburan yang terdapat di Malaysia.

Antara bank pelaburan yang disenaraikan oleh Bank Negara ialah Alliance Investment Bank Berhad, MIDF Amanah Investment Bank Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad

Akaun CDS diperlukan bagi segala urusan transaksi jual beli saham. Ia boleh dibuka oleh mereka yang berusia 18 tahun ke atas dengan menyertakan beberapa dokumen seperti penyata bank dan slip gaji.

Di Bursa Malaysia terdapat lebih 900 syarikat tersenarai dengan 686 daripadanya merupakan syarikat patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengeluarkan senarai kemas kini sekuriti patuh Syariah dari semasa ke semasa seperti diluluskan Majlis Penasihat Syariah.

Dengan kata lain, orang Islam tidak sukar untuk memilih kaunter patuh syariah yang mempunyai potensi besar untuk berkembang.

No comments:

Post a Comment