Saturday 9 June 2018

MAKSUD LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN

Maksud lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya ialah meniru gaya orang perempuan sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti wanita, dari segi perhiasan seperti memakai gelang, subang dan kalung atau dari segi gaya bercakap seperti bercakap dengan suara yang halus dan lanjut  atau dari segi  berjalan seperti berlenggang-lenggok dan lain-lain yang menjadi kebiasaan orang perempuan.

Sementara meniru gaya orang lelaki pula adalah dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi  perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak lelaki, mencukur rambut kepala, dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki.

Sehubungan dengan itu, perkara-perkara yang dilarang lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:
- Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina,
- Gaya berjalan dan gerak badan.
- Percakapan dan suara.
- Perhiasan.
- Pakaian

Perbuatan tersebut, sama ada lelaki berlagak perempuan atau sebaliknya adalah haram bahkan berdosa besar berdasarkan terdapatnya dalil yang melaknat orang yang melakukannya.

Perbuatan ini juga merupakan antara kemungkaran yang telah merebak dengan meluas di kalangan umat Islam.

Hukum lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya dengan cara perubatan sama ada dengan pengambilan hormon atau membuat pertukaran jantina adalah haram. Ianya termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Daripada Abdullah bin Masud katanya, “Allah melaknat perempuan yang membuat tatu, yang diminta membuatnya, yang mencabut bulu muka dan yang mengasah gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. Kenapa pula aku tidak mencerca mereka yang dilaknat oleh Rasulullah SAW sedangkan di dalam al-Quran Allah menyatakan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya.”

Hikmah pengharaman mengubah-ngubah ciptaan Allah adalah kerana terdapatnya pemalsuan, penipuan dan menimbulkan sangkaan yang tidak benar seperti menganggap ciptaan Allah tidak sempurna.

Perbuatan berlagak lelaki atau perempuan haram berdasarkan hadis yang bermaksud: "Daripada Ibnu Abbas, katanya, “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabrani, Abdullah bin Amru bin al-As telah melihat Ummu Said binti Abu Jahal berjalan seperti seorang lelaki dengan pedang tersisip di pinggangnya lalu Abdullah berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah daripada kalangan umatku perempuan meniru lelaki dan lelaki meniru perempuan."

Laknat dalam hadis di atas merupakan celaan yang sangat berat kepada pelaku. Ianya menunjukkan betapa kerasnya larangan Rasulullah terhadap perbuatan tersebut. Dalam kitab Fath al-Bari, al-Tabari menjelaskan laknat bermakna tidak harus iaitu haram. Manakala al-Syeikh Abu Muhammad bin Abi Hamzah berkata: Laknat  itu menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah sebahagian daripada dosa-dosa besar.

Hikmah pengharaman ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Fath al-Bari, adalah kerana larangan mengubah-ngubah ciptaan Allah sebagaimana hadis di atas.

Selain itu, ianya diharam bagi mengelakkan perbuatan homoseksual dan lesbian sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut. Hal disebutkan dalam surah al-Naml ayat 54 dan 55 yang bermaksud: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”.

Bagi lelaki menyerupai perempuan dari segi ibadah, mualamah, munakahat sehinggalah kepada urusan jenazah adalah kekal sebagaimana hukum ke atas seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

No comments:

Post a Comment