Monday 4 June 2018

BAYAR MINUMUN KAD KREDIT PUNCA HUTANG BERTAMBAH

Kad kredit dalam bahasa mudah dipanggil kad hutang. Pemiliknya boleh membuat pembelian dan pembayaran tanpa menggunakan wang atau berhutang. Ini memberi peluang pemilik kad kredit berbelanja lebih walaupun tunai dimiliki sedikit pada ketika itu. 

Pemohonan mendapatkan kad kredit agak mudah iaitu terbuka kepada mereka yang berpendapatan sekitar RM2000 sebulan atau RM24000 setahun. Syarat jumlah pendapatan itu dianggap rendah, memandangkan rata-rata siswazah yang baru bekerja sudah memperoleh pendapatan sebanyak itu.

Pun diakui tidak semua yang layak dari segi jumlah pendapatan diluluskan permohonan mendapatkan kad kredit.

Kemudahan kad kredit digunakan oleh pemiliknya untuk hidup bergaya dan mewah.  Hakikatnya, mereka sebenarnya tidak mempunyai wang yang cukup. Akibatnya, banyak pemegang kad kredit gagal melunaskan pinjaman masing-masing. 

Peningkatan jumlah hutang tertunggak antara lain disebabkan gaya hidup rakyat Malaysia yang mana masih ingin membeli biarpun sedar tidak memiliki wang tunai. Justeru, penggunaan kad kredit dijadikan pilihan untuk memenuhi keinginan itu.

Masalah timbul apabila bil bulanan diterima, baru sedar jumlah yang perlu dibayar di luar kemampuan. Untuk mengelak tindakan daripada syarikat kewangan pengeluar kad kredit, cara yang diambil ialah hanya membayar pada kadar minumum daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar.

Hampir separuh pemegang kad kredit membayar sekurang-kurangnya jumlah bayaran minimum secara tepat pada waktunya dan membawa baki selebihnya ke hadapan. Sekiranya bayaran minimum tidak dibuat sehingga tarikh akhir bayaran, cas bayaran lewat akan dikenakan.

Membayar kadar minimum bukan cara penyelesaian mutlak. Ia sekadar untuk mengelak tindakan undang-undang oleh syarikat kewangan. Sebaliknya, masalah lain pula wujud iaitu pertambahan kadar hutang melalui kadar faedah yang dikenakan. 

Berdasarkan kepada situasi itulah mengapa pemegang kad kredit terjerat dengan masalah hutang sehingga sukar untuk menjelaskannya. Biarpun tidak lagi menambah hutang baru dengan pembelian atau pembayaran, kadar hutang terus bertambah disebabkan kadar faedah dan cas-cas lain yang dikenakan.

Sekarang ada kaedah ‘gali lubang timbus lubang’ dalam menyelesaikan masalah hutang kad kredit.  Syarikat kewangan menawarkan kad kredit baru atau tawaran memindahkan jumlah hutang dari kad kredit syarikat lain. Proses pemindahan itu ditawarkan berserta kadar faedah lebih rendah dan hadiah tertentu.     

Tindakan itu bukan menyelesaikan masalah. Untungnya sementara saja. Sekiranya sikap tidak diperbetulkan, masalah akan terus menekan diri. Pemegang kad kredit berdepan dengan suasana hidup yang semakin celaru dan krisis moral yang memerangkap diri. 

Kegagalan membayar hutang kad kredit menyebabkan banyak pemegangnya diseret ke mahkamah untuk dikenakan tindakan muflis. 

Sesiapa yang dikenakan status bankrap atau muflis dipandang hina dalam masyarakat dan hilang kelayakan dalam hal-hal tertentu. Namun tindakan tegas itu tidak memberi pengajaran sewajarnya kepada kebanyakan individu yang masih galak menggunakan kad kredit tanpa memikirkan keupayaan membayar.

Tertekan dengan kegagalan melunaskan hutang kad kredit mendedahkan seseorang melakukan perbuatan menyalahi agama dan undang-undang seperti menerima rasuah, menipu, pecah amanah dan melakukan urusniaga haram.

Setiap hutang perlu diniatkan untuk membayarnya. Cara memastikan keupayaan membayar hutang ialah mengambil hutang mengikut keperluan saja dan diniatkan untuk membayarnya.

Kad kredit tidak sepatutnya dijadikan sebagai cara mudah untuk membuat pinjaman. Kebanyakan pemohon kad kredit awal-awal lagi merancang untuk mendapat kemudahan kredit dan pengeluaran wang pendahuluan di tahap maksimum. 

Sesungguhnya sesiapa saja yang berbelanja tanpa memikirkan kemampuan membayar akan terjebak dengan masalah hutang. Biarpun pendapatan tinggi, tetapi jika tidak bijak berbelanja tetap akan berdepan dengan masalah muflis. Kecenderungan berurusniaga secara hutang tanpa batasan mencetuskan fenomena kegagalan mengurus kewangan dengan bijak.  

No comments:

Post a Comment