Monday 4 June 2018

KAD KREDIT LARIS DI PASARAN

Kad kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.

Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit. Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai. Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.

Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya, menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai 'had kredit'.

Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.

Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah pembayaran ini tidak digalakkan.

Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah.

Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif muda berusia bawah 30 tahun.

Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.

Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada ekonomi dan moral individu serta masyarakat.

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya, bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya. Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment