Sunday 24 November 2019

KAWAL ANAK MUSIM BANJIR ELAK BENCANA


Kanak-kanak memang suka main air. Kata pepatah, macam itik dapat air. Situasi itu memang lumrah. Sebab itu, lokasi lokasi paling diminati kanak-kanak ialah taman tema air.

Jadi, pada musim hujan adalah taman tema air percuma. Boleh main sampai puas.

Musim banjir adalah cabaran bagi ibu bapa mengawal anak-anak mereka. Bukan mesti tegah atau larang sepenuhnya daripada bermain air. Kalau kawasan berpagar di laman ruman yang dipenuhi air hujan, rasanya tidak salah untuk kanak-kanak bersuka ria.

Apa yang penting ialah kawal dan didik mereka mengenai bahaya air. Mereka mesti tahu tidak boleh bermain air di kawasan air dalam atau aliran laju.

Jangan sekali-kali dibiarkan anak-anak berada di luar kawasan rumah secara bersendirian tanpa ditemani orang dewasa sekiranya kawasan berhampiran rumah ada tempat air dalam.

Kejadian lemas melibatkan kanak-kanak biasa berlaku pada musim banjir disebabkan ibu bapa cuai mengawai anak-anak mereka.

Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka semasa musim banjir ini. Kejadian lemas atau hilang dibawa arus air banjir kerana di musim banjir ini keadaan air sukar diramal, malah kedudukan parit-parit dan sungai juga tidak jelas kerana ia telah melimpah dan ini mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang bermain air banjir.

Monday 18 November 2019

NAMA KAMPUNG DIMULAI PERKATAAN 'KOK'

Di Kelantan terdapat nama tempat atau kampung yang dimulai dengan perkataan 'kok'. 

Di Tumpat terdapat beberapa nama seperti Kampung Kok Keli, Kampung Kok Pasir, Kampung Kok Timun, Kampung Kok Majid, Kampung Kok Bedolah, Kampung Kok Semru, Kampung Kok Serai, Kampung Baroh Kok Pauh, Kampung Atas Kok, Kampung Kok Beluru, Kampung Kok Tok Leh dan Kampung Kok Seraya.

Di daerah Pasir Putih ada Kampung Kok Berangan dan Kampung Kok Jering. Manakala di Kota Bharu ada Kampung Kok Pasir di Jalan Pengkalan Chepa. 

Di kawasan Gunung, Bachok pula ada nama Kampung Kok Lintang. Kem Desa Pahlawan atau juga dikenali Kem Bukit Cina terletak dalam kawasan Kok Lanas yang sekarang ini semakin berkembang maju. 

Di Machang ada nama Kampung Kok Kiok atau ada yang mengeja Kampung Kok Kiak.

Tidak pasti mengapa nama-nama kampung berkenaan dimulakan dengan nama 'kok'.

Dalam dialek Kelantan, perkataan 'kok' membawa beberapa erti, seperti agak-agak, tanda atau bekas yang menunjukkan sesuatu jalan dan lain-lain yang sering digunakan. 

Perkataan 'kok' juga bermaksud ikut suka hati apa ingin dilakukan. Perkataan kok mu, bermaksud ikut suka hati kamu, atau terpulang kepada kamu.  

Maksud lain perkataan 'kok' ialah tempat yang tidak pasti. 

Kok juga bermaksud tempat yang lebih tinggi berbanding tempat di sekitarnya mengambil kata asal perkataan Siam 'khok'.

Berdasarkan maksud 'kok' itu maka boleh dikatakan sejarah asal nama kampung-kampung berkenaan berkaitan sesuatu yang tidak pasti, tanda sesuatu jalan laluan yang biasa digunakan atau tempat lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

Friday 8 November 2019

SIKAP DENGKI MEMBAWA KEPADA FITNAH


Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya.

Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya.

Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara.

Tetapi dengan izin Allah, Allah S.W.T. membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.

Walau setinggi mana ilmunya, sebanyak mana sekalipun solatnya, puasanya, hajinya dan hebat perjuangannya tetapi di sisi Allah tetaplah dia ahli Neraka, kerana hakikat orang yang berhasad dengki itu orang yang biadap dengan Allah.

Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.

Monday 4 November 2019

MASJID UNIK DI TENGAH LADANG TEH SABAH

Untuk kemudahan tempat beribadat kepada pekerja beragama Islam, Sabah Tea telah membina sebuah masjid di tengah-tengah ladang teh.

Masjid yang dibina pada 1983 ini dibina sepenuhnya menggunakan konkrit, termasuk bahagian atap atau bumbung.  Bahagian dinding pula menggunakan batu batan dari sungai.

Seni bina seperti ini kelihatan unik dengan batuan sungai. Terserlah kesederhanaan tetapi penuh nilai estetika.

Pada satu ketika, masjid ini pernah terbiar apabila jarang digunakan disebabkan terletak jauh dari penempatan pekerja.

Namun, sekarang ini ia telah diselia dan diuruskan semula dan menjadi sebahagian lokasi tumpuan di kalangan pelawat yang datang meninjau kawasan ladang teh.

Ladang Teh Sabah terletak di kampung Nalapak dalam daerah Ranau, Sabah iaitu kira-kira 120 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu.

Lokasi ladang teh ini berada di laluan lebuh raya di antara Telupid - Ranau iaitu selepas persimpangan ke Poring Hot Spring.

Ladang teh ini berada di ketinggian 2,272 kaki daripada aras laut dengan keluasan ladang sebesar 6,200 ekar