Thursday 27 February 2020

SYAITAN HASUT TANGGUH TAUBAT


Antara hasutan syiatan ialah menangguhkan bertaubat. Orang muda yang ingin bertaubat dibisikkan oleh syaitan agar ditangguhkan taubat itu sehingga usia tua. Bisikan syaitan itu satu helah, kerana selama-lamanya syaitan akan mempengaruhi manusia melakukan dosa dan menghalang daripada bertaubat. 

Apabila usia tua, syaitan menggunakan helah lain pula untuk menangguh taubat. Amalan buruk yang telah sebati sukar untuk dikikis. Syaitan membisikkan agar terus melakukan perkara itu. Sebab itu, golongan tua tidak sedar semakin menghampiri kematian.

Sesiapa bertaubat, maka dirinya diampunkan Allah SWT. Segala keburukan yang dilakukan hasil hasutan syaitan sebelum itu diampunkan. Usaha syaitan itu jadi sia-sia. Justeru, syaitan berusaha mengelakkan manusia bertaubat dengan cara sentiasa menangguhkan sehingga saat kematian.

Taubat perlu disegerakan apabila merasakan diri telah melakukan dosa bertujuan membersihkan diri agar kehidupan lebih aman, sejahtera dan dilimpahkan rahmat. Allah SWT sentiasa membuka peluang untuk hamba-Nya bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat. (Hadis riwayat Tirmizi).

Orang dipenuhi dosa sentiasa resah, tidak mendapat kepuasan hidup, tamak, ketagih melakukan maksiat dan benci melakukan kebaikan.  Doa orang berdosa sukar dimakbulkan oleh Allah SWT. Hati yang tidak dibersihkan dengan taubat menjadi terus kotor dan sukar mendapat cahaya kebenaran.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang mukmin jika berbuat satu dosa, maka ternodalah hatinya dengan satu noktah berwarna hitam. Jika dia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, hatinya akan kembali jernih. Jika dosanya itu bertambah-tambah, noktah hitam itupun turut bertambah hingga menutupi hatinya." (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi).

Kejayaan syaitan membawa kesesatan menjadikan manusia berani membantah dan menafikan kekuasaan Allah SWT. Kisah keangkuhan Firaun bukti nyata kesesatan manusia yang dipengaruhi syaitan. Firaun bukan sahaja tidak mengikuti ajaran dibawa oleh Nabi Musa, bahkan mengaku dirinya menjadi tuhan dan berkuasa melakukan apa yang diingini. 

Syaitan telah menjadikan Qarun bertukar angkuh dan sombong setelah memiliki kekayaan yang banyak. Nasihat dan seruan Nabi Musa tidak diendahkan oleh Qarun akibat hasutan syaitan yang lebih menguasai minda dan nafsunya. 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Namun, tentunya syaitan tidak berputus-asa untuk mempengaruhi manusia agar melakukan kejahatan dan meninggalkan suruhan Allah SWT. Perkara pertama yang dibisikkan ialah menimbulkan minat dan keinginan melakukan perkara ditegah itu.

Setiap muslim perlu berusaha membatalkan niat melakukan keburukan dan kembali kepada niat melakukan kebaikan. Sesiapa membatalkan hasrat melakukan perkara buruk tetap mendapat pahala.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia keinginannya lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment