Tuesday 24 March 2020

TAUBAT PERLU DISEGERAKAN

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Kedua-dua sifat itu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Akal membimbing manusia melakukan kebaikan, sedangkan nafsu jahat membisikkan agar berminat kepada keburukan.  

Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menghapus dosa melalui cara bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Bertaubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa yang berkenaan. Namun, ini tidak bermakna manusia boleh melakukan dosa dan kemudian bertaubat secara suka-suka. Taubat yang tidak ikhlas atau hanya di mulut saja tidak akan diterima.

Allah SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Melakukan perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan berambah jika tidak mahu bertaubat dengan segera untuk membersihkan diri.  

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas menyedari telah melakukan dosa. Tindakan itu dapat mengelak diri terbiasa melakukan dosa dan seronok mengulanginya hingga tidak mahu bertaubat.      

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya itu dan rugilah orang yang mengotorinya (dengan kekotoran maksiat).” (Surah as-Syams, ayat 9-10).


Gambar: Hiking Bukit Gua Kambing. Sekadar hiasan.

Sunday 15 March 2020

SIAPA KATA BERNIAGA BUNDLE TIADA KELAS?

Peniagaan bundle seperti kasut, bag, permainan kanak-kanak dan baju telah lama bertapak di negara kita. Perkataam bundle adalah datang dari bahasa inggeris, sebab kebiasaan barang terpakai ini datang dalam satu guni yang sudah diikat kemas dalam guni atau tongkol. 

Barang bundle adalah yang sudah digunakan oleh pemakai atau pengguna pertama. Barang bundle biasanya datang dari negara maju yang rakyatnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Tidak hairan jika barang bundle adalah dari jenama terkenal dan masih dalam keadaan baik dan tidak banyak beza dengan yang baharu.

Contohnya banyak baju bundle masih dalam keadaan baik yang digunakan hanya dalam beberapa bulan. Di negara maju yang mempunyai empat musim, golongan kaya akan membeli pakaian baharu apabila tiba sesuatu musim. Pakain itu kemudian akan dibuang apabila tiba musim lain.  

Banyak juga baju dibuang apabila sudah dianggap 'lapuk' kerana ada fesyen baharu muncul di pasaran. Golongan yang mementingkan perubahan fesyen akan 'malu' jika mengayakan fesyen yang dianggap telah ketinggalan zaman walaupun sebenarnya fesyen itu dikeluarkan beberapa bulan sebelumnya.

Peniaga bundle membeli tongkol atau guni bundle tanpa melihat kualiti dan kuantiti barang. Apa yang diketahui hanya berat tongkol itu. Jadi, kira nasiblah apa yang ada nanti apabila tongkol dibelah atau dibuka.

Namun, peniaga bundle tidak pernah rugi. Keuntungan yang bakal diperoleh berlipat ganda. Pertamanya kerana harga satu tongkol yang dibeli secara relatifnya adalah murah. Keduanya, dalam bundle itu ada barang berjenama dan berkualiti.

Peniaga bundle kena kenal barang berjenama dan sukar ditemui. Kalau bernasib baik, satu barang berjenama sedang memberi pulang modal, sedangkan masih ada beratus-ratus barang yang boleh dijual dengan harga yang tidak kurang mahalnya.

Ada peniaga yang akan membuka tongkol terlebih dahulu tanpa kehadiran pembeli bagi memberi peluang mereka memilih dan menggeredkan barang sebelum dijual.

Namun ada juga penjual bundle yang membuka bundle di hadapan pelanggan. Malah, acara pembuka tongkol itu akan dilakukan pada hari dan waktu tertentu untuk menarik kehadiran pelanggan. Pelanggan akan memilih barang yang disukai dan menunjukkan kepada penjual untuk ditetapkan harganya.

Ketika buka atau pecah tongkol itu biasanya peniaga bundle telah pulang modal dan mendapat untung. Barang yang masih tinggal itu dijual pada waktu lain memberi keuntungan yang berganda.

Jadi, siapa kata berniaga bundle tiada kelas?

Sunday 8 March 2020

LUPA DIRI MASA BERKUASA

Setiap apa yang terjadi di muka bumi ini adalah ketentuan Allah sejak awal lagi. Sesungguh apa sahaja yang ingin Allah lakukan itu adalah perkara yang mudah bagi-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Surah Al-Hadid, ayat 22)

Justeru, apa sahaja yang berlaku sama itu baik atau buruk hendaklah diterima dengan hati terbuka. Jika ia berkaitan dengan perkara buruk, hendaklah tidak bersedih dan menyalahkan takdir sehingga berputus harap.

Sebaliknya, jika yang dialami itu adalah sesuatu yang mengembirakan, maka bersyukurlah. Namun jangan sekali-kali kita sombong dan bertindak sesuka hati sehingga mengundang murka Allah.

Firman Allah SWT bermaksud: "(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." Surah al-Hadid, ayat 23).

Amat malang sekali apabila ada sesetengah daripada kita yang hidup seperti tiada panduan. Apa yang dilakukan hanya berdasarkan kepada kehendak nafsu.

Apabila berkuasa dan diberi sedikit kesenangan, maka digunakan dengan semahu-mahunya seperti tiada dosa pahala yang akan diraih daripada perbuatan itu. Dirasakan bahawa apa yang dimiliki itu adalah hasil kehebatan mereka melakukan sesuatu sehingga lupa bahawa apa yang dicapai itu adalah kurniaan Allah yang juga merupakan satu ujian sama ada mereka bersyukur atau sebaliknya.

Dan, apabila segala yang dimiliki itu ditarik balik, maka disalahkan pihak lain yang dianggap telah merampas hak mereka. Mereka lupa bahawa apa yang terjadi itu adalah hasil apa yang mereka lakukan sendiri.

Jadilah manusia yang sentiasa muhasabah diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Hidup ini adalah pentas ujian menentukan kehidupan kita di akhirat kelak. 

Gambar: Sekadar hiasan 

Monday 2 March 2020

CARA TRADISIONAL BAJAK SAWAH GUNA KERBAU

Proses membajak sawah merupakan antara peringkat dalam proses penanaman padi. Pada masa dahulu, kerja-kerja membajak dilakukan menggunakan khidmat haiwan seperti lembu dan kerbau untuk memudahkan kerja-kerja membajak.

Kerbau atau lembu dijadikan 'jentera' untuk menarik berberapa peralatan yang akan membajak tanah. Lembu atau kerbau pada masa dahulu memang telah dilatih lasak untuk melaksanakan tugasan itu dan 'mahir' melaksanakan tugasan melalui 'arahan' dibuat oleh tuannya.

Peralatan digunakan untuk membajak tanah terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu igu, nanggal, sepak dan paha (perkataan dialek Kelantan).

Igu adalah kayu yang diletakkan di atas bahagian tengkuk lembu atau kerbau. Semasa proses membajak digunakan lembu atau kerbau yang digunakan sama ada seekor atau dua ekor serentak. Jadi, bentuk igu bergantung sama ada untuk seekor atau dua ekor.

Igu pula akan disambungkan dengan nanggal yang biasanya dibuat menggunakan batang kayu panjang dari jenis pokok halban atau leban. 

Batang nanggal itu pula akan dipasang sepak yang pada bahagian hujung di bahagian bawah akan dipasang dengan pahar atau pai, yakni sejenis mata yang diperbuat daripada besi. Paha atau mata bajak itulah yang akan 'mengerat' dan membalik tanah apabila ditarik oleh lembu atau kerbau.

Tanah yang dikerat dan dibalikkan menggunakan paha masih tidak sesuai untuk dijadikan tapak menabur atau menyemai benih padi. Tanah belum lembut dan rata sepenuhnya. 

Jadi proses seterusnya ialah menggerat tanah dan gerat yang berbentuk sisir. Gerat akan disambungkan dengan igu dan ditarik oleh lembu atau kerbau seperti proses pertama.

Proses menggerat akan memecahkan tanah kepada lebih kecil dan meratakan tanah. Selain itu, ia juga akan mengasingkan rumput dan pokok lain yang perlu dibuang sebelum proses menabur benih.

Apabila proses penyediaan tanah sawah selesai, barulah benih padi akan ditabur. Pada masa dahulu, tapak benih ini ditabur dengan benih untuk benih tumbuh rapat-rapat kerana selepas itu ia akan dipindahkan ke tapak lain. Tetapi sekarang ini kaedah tabur terus digunakan di mana benih yang tumbuh akan terus dibiarkan tumbuh membesar sehingga mengeluarkan buah.