Tuesday 24 March 2020

TAUBAT PERLU DISEGERAKAN

Dalam diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan keburukan. Kedua-dua sifat itu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Akal membimbing manusia melakukan kebaikan, sedangkan nafsu jahat membisikkan agar berminat kepada keburukan.  

Hal demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT memberi peluang kepada manusia untuk menghapus dosa melalui cara bertaubat. 

Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Semua anak Adam (manusia) banyak melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Bertaubat bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak pernah melakukan dosa yang berkenaan. Namun, ini tidak bermakna manusia boleh melakukan dosa dan kemudian bertaubat secara suka-suka. Taubat yang tidak ikhlas atau hanya di mulut saja tidak akan diterima.

Allah SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT. 

Firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).

Melakukan perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan berambah jika tidak mahu bertaubat dengan segera untuk membersihkan diri.  

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas menyedari telah melakukan dosa. Tindakan itu dapat mengelak diri terbiasa melakukan dosa dan seronok mengulanginya hingga tidak mahu bertaubat.      

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya itu dan rugilah orang yang mengotorinya (dengan kekotoran maksiat).” (Surah as-Syams, ayat 9-10).


Gambar: Hiking Bukit Gua Kambing. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment