Tuesday 5 October 2021

KEBAIKAN BELAJAR DI SEKOLAH ASRAMA PENUH

 
Banyak pelajar bercita-cita ingin belajar di asrama penuh. Begitu juga dengan ibu bapa pasti berbangga jika anak mereka belajar di sekolah asrama penuh.

Minat belajar di asrama penuh timbul dari reputasi pelajar yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam yang diadakan seperti PT3 dan SPM. 

Selain itu, belajar di asrama penuh mampu mendidik pelajar berdikari. Pelajar tinggal di asrama perlu mengurus sendiri keperluan harian seperti membasuh baju, melipat baju, membasuh kasut dan sebagainya.

Mereka tidak boleh mengharapkan ibu bapa atau rakan-rakan lain membantu. Masing-masing perlu melakukan sendiri.

Membina keyakinan diri adalah antara sifat pelajar asrama penuh. Mereka perlu yakin untuk hidup tanpa ibu bapa di sisi. Individu terdekat sepanjang tinggal di asrama hanyalah rakan-rakan dan guru. 

Satu lagi kelebihan belajar di asrama penuh ialah pelajar berpeluang mengikuti kokurikulum teratur. Ini memandangkan mereka tinggal di asrama.

Mudah pihak sekolah menguruskan aktiviti mengikut masa yang sesuai. Pelajar juga mempunyai masa lebih kerana tidak terganggu dengan masa pergi dan balik sekolah setiap hari seperti pelajar sekolah harian.  

Memandangkan pelajar tinggal di asrama, mereka sering bersaing sesama mereka semasa belajar. Semangat belajar timbul apabila lihat rakan-rakan yang lain tekun belajar.

Jadi, mereka akan berasa ‘bersalah’ jika tidak belajar. Tambahan lagi, jika dalam peperiksaan dirinya ketinggalan berbanding rakan lain.

Pihak sekolah asrama penuh memberi perhatian lebih kepada pelajarnya. Ini bagi memastikan pelajar yang telah terpilih dari seluruh negara tidak mempersia-siakan kemampuan yang sememangnya lebih baik berbanding rakan-rakan yang lain. Mereka pelajar terpilih. 

Selain itu, pihak pengurusan perlu mempertahankan reputasi sekolah berasrama penuh. Tentu, mereka tidak mahu dikalahkan oleh sekolah harian biasa dalam melahirkan pelajar cemerlang.

Satu lagi kelebihan sekolah asrama penuh ialah semua kemudahan pembelajaran disediakan oleh pihak sekolah.

Kemudahan ini memberi banyak kelebihan, terutama kepada pelajar miskin. Kemudahan itu tidak mampu disediakan oleh keluarga jika tinggal di rumah.

Gambar: Pantai Nusuk Kampung Tanjung Kuala Sabak. Sekadar gambar hiasan. 

No comments:

Post a Comment