Thursday 14 April 2022

GOLONGAN ASNAF BOLEH TERIMA ZAKAT FITRAH

 
Zakat fitrah wajib ditunaikan bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada hari Aidilfitri.

Golongan miskin juga wajib mengeluarkan zakat fitrah. Pada masa yang sama golongan itu juga layak menerima zakat fitrah.   

Golongan lain yang termasuk dalam asnaf penerima zakat fitrah ialah fakir, pengurus zakat (amil), mualaf, hamba hendak dimerdekakan, orang yang berhutang, berjuang pada jalan Allah dan musafir.

Zakat fitrah boleh dikeluarkan kepada ahli keluarga yang bukan berada di bawah tanggungan pengeluar zakat sekiranya dia termasuk dalam golongan yang menerima zakat.

Ketika hendak mengeluarkan zakat fitrah hendaklah lebih berhati-hati agar ia hanya diberikan hanya kepada yang layak. Sekiranya mengeluarkan zakat fitrah kepada golongan yang tidak layak, jumlah zakat yang dikeluarkan kepada orang itu adalah tidak sah. 

Jumlah yang tidak sah itu hendaklah dikeluarkan pula kepada orang yang layak untuk menyempurnakan berzakat fitrah. 

Untuk mengelak mengeluarkan zakat fitrah kepada golongan yang tidak layak, adalah lebih baik zakat itu dikeluarkan kepada amil yang memunggut bagi pihak pihak berkuasa agama atau pusat zakat. Zakat itu akan diagih-agihkan kepada golongan yang layak oleh pihak berkenaan.

Zakat fitrah ditunaikan bagi pihak diri sendiri dan orang di bawah tanggungannya. Ketua keluarga bertanggungjawab membayar zakat bagi seluruh ahli keluarganya yang masih mengharapkan sara hidup daripadanya.

Perlu diingatkan juga, orang gaji terutamanya dari luar negara yang tinggal bersama dianggap sebagai tanggungan majikannya, kecuali dianggap sebaliknya. Majikan perlu memaklumkan perkara itu kepada orang gaji bagi mengelak terlepas daripada membayar zakat fitrah.

Ibu bapa patut menghubungi anak masing-masing yang tinggal di perantauan agar menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri. Kerap berlaku anak-anak tidak mengetahui perkara itu kerana menganggap itu tanggungjawab bapa.

Dalam kes perantau melangkaui negeri, adalah lebih afdal membayar zakat di negeri di mana dia mencari rezeki mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri berkenaan. Bagaimanapun, zakat fitrah tetap sah jika ditunaikan di negeri asal ketika pulang menyambut hari raya.

Jadi, kepada perantau yang bercadang ingin pulang berhari raya di kampung masing-masing, elok ditunaikan dahulu zakat fitrah di tempat tinggalnya sekarang.

Tempoh membayar zakat fitrah ialah bermula masuknya bulan Ramadan dan berakhir sebelum takbir pertama sembahyang sunat Aidilfitri di tempat dia berada ketika itu. Masa paling afdal membayar zakat fitrah ialah pada pagi hari raya. 

Bagaimanapun, untuk mengelak terlepas daripada membayar zakat fitrah, elok ia disegerakan. Allah memberi balasan pahala berdasarkan kepada apa yang kita niatkan.

Amil yang dilantik di setiap mukim biasanya telah membuka kaunter penerimaan zakat di masjid atau tempat khas biasanya seminggu sebelum Aidilfitri. Di sesetengah tempat, kaunter penerimaan zakat beroperasi sebaik masuk Ramadan.  

Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan mengalu-alukan sumbangan dari orang ramai untuk memberi peluang lebih banyak asnaf dapat dibantu. 

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, Fazliaton di talian 011-1941-3639 

Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB). 

Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan adalah pertubuhan berdaftar. Nombor pertubuhan: PPM-006-03-30032021 

No comments:

Post a Comment