Thursday 12 May 2022

SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA

 
Tanggal 12 Mei setiap tahun adalah hari yang dihargai oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia kerana hari terbabit diiktiraf sebagai Hari Jururawat Sedunia.

Sesungguhnya, tugas dan tanggungjawab seseorang jururawat sangat besar dalam menyediakan khidmat untuk merawat pesakit di hospital.

Sumbangan mereka seiring pentingnya dengan tugasan seorang doktor. Bak kata orang, di mana ada doktor, maka di situ adanya jururawat. Begitu eratnya perkhidmatan kejururawatan dengan kedoktoran dalam urusan merawat dan memberikan perkhidmatan kesihatan awam.

Masyarakat di peringkat apa sekalipun amat terhutang budi dengan jasa yang dicurahkan selama ini bekerja siang malam tanpa mengira waktu.

Demi amanah yang digalas, segala masalah peribadi diketepi semata-mata untuk melihat pesakit yang dirawatnya kembali sembuh seperti sedia kala.

Mungkin, tiada yang lebih menggembirakan hati seseorang jururawat melebihi tatkala melihat pesakit yang dirawatnya kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Besar pengorbanan dan jasa para jururawat kepada masyarakat. Segalanya menjadi taruhan, bukan sahaja masa tetapi kudrat mereka untuk menjamin kesihatan dan nyawa semua.

Idea tentang sambutan Hari Jururawat pertama kali muncul pada tahun 1953 apabila Dorothy Sutherland, seorang pegawai di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat mencadangkan agar Presiden Dwight D. Eisenhower mengisytiharkan "Hari Jururawat" 

Bagaimanapun sambutan rasmi yang pertama hanya mula diadakan oleh Majlis Jururawat Antarabangsa (MJA) pada tahun 1965.

Pada bulan Januari 1974, keputusan telah dibuat untuk mengadakan sambutan pada 12 Mei sempena ulang tahun kelahiran Florence Nightingle yang dianggap pengasas kejururawatan moden. Tarikh sambutan itu kekal sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment