Sunday 17 September 2023

CARA PASTIKAN HAK MELAYU TERJAMIN

 
Bangsa Melayu membentuk kaum majoriti di Malaysia dengan melebihi 58 peratus daripada keseluruhan penduduk. Jika Melayu tidak berpecah, ia membentuk kuasa politik yang kuat dan berpengaruh.
 
Malangnya, dalam politik Melayu berpecah kepada banyak kelompok sehingga kuasa dan kedudukan Melayu menjadi lemah. Politik Melayu lebih kepada menyerang sesama sendiri dan membawa kepada banyak keburukan.
 
Serangan terhadap sesama Melayu bukan sahaja berkaitan bangsa, bahkan turut melibatkan agama. Satu keadaan yang amat buruk kesannya. Amat malang sekali jika hukum hakam agama digunakan untuk meletakkan dosa pahala berkaitan sokongan terhadap parti tertentu.
 
Kalau benar-benar memperjuangkan Melayu dan Islam, jangan saling menyalahkan sesama sendiri. Jika ingin dilihat lebih baik berbanding kelompok lain untuk mendapat sokongan, tunjukkan kebaikan diri dan kumpulan, bukan lebih banyak mencipta fitnah dan persepsi buruk pihak lawan.
 
Hargai kedudukan istimewa Melayu yang tercatat di dalam Perlembagaan. Melayu boleh menjadi yang terbaik dan paling berkuasa dengan dimanfaatkan sepenuhnya apa yang terdapat dalam Perlembagaan.
 
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini.

Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menjadi murtad.
 
Melayu layak menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.

Maka itu, berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan, amat penting Melayu memperjuangkan kedudukan Melayunya dengan mengelak berlaku perpecahan sesama sendiri.
 
Sebaik mana peruntukan Perlembagaan memihak kepada Melayu dan Islam tidak membawa apa-apa erti jika Melayu terus berpecah dan saling menjatuhkan sesama sendiri.
 
Banyak pihak lebih mementingkan laba politik berbanding menyelamatkan kedudukan Melayu.

No comments:

Post a Comment