Friday, 9 May 2025

KERETA API LAJU BANTU MAJUKAN EKONOMI CHINA

 
China bangunkan kereta api berkelajuan tinggi pertama tahun 2008. Pada masa itu, ia menghubungkan kawasan kira-kira 6,000 kilometer dan kereta api yang dibina pada ketika itu mampu mencapai kelajuan melebihi 200 km/j. Ia jauh ketinggalan berbanding Jepun yang telah mengoperasikan kereta api laju sejak 1964. 
 
Menjelang 2020, China telah membangunkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi terbesar di dunia, menjangkau lebih 45,000 kilometer melibatkan seluruh kawasan negara berkenaan. Satu pencapaian atau peningkatan yang amat ketara.
 
Rangkaian kereta api laju ini menghubungkan hampir setiap bandar utama di China, dengan kereta api bergerak pada kelajuan antara 250 km/j dan 350 km/j .
 
Dalam 10 tahun sahaja, sistem keretapi lajunya dah 'cover' seluruh negara. Sampai ke Tibet yang begitu tinggi itu pun kereta api berkelajuan tinggi dia boleh lalu.
 
Dengan kereta api berkelajuan tinggi, rakyat China boleh pergi kerja ke tempat yang jauh dengan cepat. Negara itu luas, tetapi dengan kereta api berkelajuan tinggi rakyat boleh pergi ke sesuatu destinasi dengan cepat dan selesa.
 
Aktiviti ekonomi dapat dilakukan dengan lancar apabila pergerakan guna tenaga boleh pergi ke sesuatu tempat dengan cepat melakukan perniagaan, pentadbiran dan keperluan lain dengan cekap.
 
Perkembangan aktiviti pelancongan juga meningkat dengan ketara. Pelancongan melibatkan rakyat China sendiri, mahupun luar negara berkembang dengan pesat.
 
Semua itu telah merangsang ekonomi China. Sejak 2008, ekonomi negara tersebut berkembang dengan hebat. Ia bertepatan dengan teori ekonomi berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur.
 
Pembangunan kemudahan pengangkutan memang banyak mempengaruhi kemajuan sesebuah kawasan, negeri mahupun negara. Inilah yang dilakukan oleh China dengan pembinaan dan operasi kereta api berkelajuan tinggi banyak menyokong perkembangan ekonominya.