Setiap
hari kita tidak terlepas daripada mengucapkan perkataan bermaksud janji. Fikirkan betapa banyak kita berjanji setiap
hari dengan mengucapkan perkataan-perkataan yang membawa maksud berjanji
seperti saya akan, lain kali, lepas ini dan seumpamanya.
Semua
janji perlu dianggap penting dalam kehidupan kita. Menepati janji adalah sendi kehidupan Muslim
yang menjadi tanda kepada keimanan.
Oleh
itu, jangan mudah mengucapkan janji jika difikirkan tidak mampu ditepati. Allah memerintahkan agar setiap orang beriman
menyempurnakan janji yang dibuat.
Firman
Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman!
Sempurnakan janji-janjimu.” (Surah al-Maidah, ayat 1).
Menepati
janji adalah sifat terpuji yang harus dilakukan setiap Muslim sepertimana
diamalkan di kalangan para rasul.
Kekuatan peribadi para rasul dalam menepati janji disebut dalam
al-Quran, sebagai bukti kenabian seseorang nabi.
Firman
Allah bermaksud: “Sesungguhnya dia (Nabi Ismail) adalah benar menepati janji,
dan adalah dia seorang rasul lagi berpangkat nabi.” (Surah Maryam, ayat 54).
Diriwayatkan,
Nabi Ismail telah berjanji menemui seseorang pada suatu tempat yang
ditentukan. Malangnya orang yang
berjanji itu tidak datang. Nabi Ismail
terus sabar menanti orang itu selama 22 hari lamanya. Tindakan Nabi Ismail adalah berdasarkan
kemungkinan orang itu terlupa dan mungkin akan datang pada hari berikutnya
apabila mengingati mengenai janji itu.
Setiap
janji untuk melakukan kebaikan wajib ditepati dengan sedaya usaha. Bagaimanapun, janji melakukan perbuatan dosa
tidak wajib ditepati, bahkan haram ditepati.
Janji melakukan dosa tidak termasuk dalam maksud janji yang disuruh
dilaksanakan. Bahkan, janji melakukan
keburukan adalah ditegah sama sekali.
Menepati
janji menjadi amalan dalam masyarakat yang mementingkan suasana hidup yang
harmoni, sejahtera dan beretika.
Masyarakat yang bertamadun dan maju mengutamakan konsep menepati
janji.
Sesungguhnya,
apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab
melaksanakannya. Tanggungjawab adalah
amanah. Sesiapa tidak melaksanakan
amanah dipanggil pecah amanah. Individu
yang mementingkan harga diri sudah tentu tidak mahu dirinya dikenali sebagai
tidak amanah.
Orang
yang tidak amanah tidak akan dipercayai untuk diserahkan tugas yang
penting. Hal ini sudah tentu merugikan
diri sendiri. Sekali identiti tidak
amanah terlekat pada diri, sukarlah untuk dibuang daripada ingatan orang
lain.
Sikap
tidak amanah, tidak menepati janji dan bercakap bohong mempunyai kaitan
rapat. Tidak keterlaluan jika dikatakan
orang tidak amanah layak dipanggil pencuri, seperti kata pepatah, senohong
gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.
No comments:
Post a Comment