Saturday, 21 July 2018

GOTONG ROYONG PADA MUSIM BUAH DURIAN

Masyarakat Melayu kaya budaya dan budi pekerti mulia. Bangsa Melayu kreatif untuk melakukan sesuatu dengan perkara yang berlaku sekeliling. Mungkin tidak ramai menyedari bagaimana sesuatu aktiviti gotong royong dilakukan mengikut musim buah.

Antara amalan gotong royong masyarakat Melayu yang kini semakin dilupakan ialah gotong royong membersih kubur. Biarpun sekarang kebanyakan kubur kelihatan bersih dari semak samun, namun sebenarnya dilakukan oleh dua atau tiga orang dengan menggunakan mesin dan ada yang membayarnya. Ada juga melakukan secara percuma.

Pada masa dahulu, membersih kawasan kubur dilakukan secara gotong royong melibatkan hampir keseluruhan pendudukan kampung dari kanak-kanak hingga ke tua. Yang kanak-kanak hadir bukan melakukan kerja, tetapi dibawa sama oleh ibu bapa sebagai latihan dan memupuk budaya murni. Memandangkan ramai yang hadir bersama peralatan sendiri, sebenarnya tidak lama kerja yang dilakukan. Sekejap sahaja dilakukan sudah siap. Itulah untungnya kerja gotong royong. Perkara berat akan menjadi mudah.

Bagaimana pula kaitan gotong royong dengan musim buah? Dahulu buah-buahan banyak di kampung. Jadi, untuk berkongsi rezeki, mereka ingin mengagihkan kepada jiran yang lain. Cara mudah untuk berkongsi satu kampung ialah dengan mengadakan gotong royong membersih kubur dan selepas itu diadakan jamuan buah-buahan. Paling popular tentu sekali durian yang dijadikan pulut durian dan serawa durian.

Begitulah, akrabnya kehidupan masyrakat Melayu dahulu. Bergotong royong dan berkongsi rezeki. Masing-masing rasa bertanggungjawab terhadap kampung sendiri dan menjalin hubungan mesra sesama penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment