Monday, 1 March 2021

PERTANIAN SATU PERNIAGAAN

Pertanian satu perniagaan. Hasil pertanian merupakan bahan keperluan hidup yang mendapat permintaan sepanjang masa. Jadi, petani berpeluang memperoleh keuntungan jika bijak mengendalikan aktiviti penanaman dan pemasaran yang berkesan.

Bidang pertanian hanya akan menjadi perniagaan yang menguntungkan jika pengusahanya memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Ilmu merupakan tunjang utama yang jadi penentu ukur kejayaan dalam mana-mana bidang yang diceburi.

Ilmu tidak semata-mata apa yang dipelajari di sekolah atau universiti. Konsep ilmu itu luas. Apa sahaja pengetahuan atau kebolehan dalam sesuatu perkara adalah dianggap ilmu.

Ilmu sebenarnya banyak diperoleh secara pengalaman, keberanian mencuba, berani menanggung risiko, dan belajar sesuatu kaedah berkesan menerusi pengalaman orang lain.

Menerusi ilmu pengetahuan yang tinggi, pertanian yang dijalankan akan serba kompleks, maju, berdaya saing bukan sahaja dalam negara malah ke peringkat global.

Kebanyakan golongan belia lepasan pengajian tinggi yang memiliki ijazah masih rela menunggu kerja atau mencari kerja dalam sektor awam dan swasta daripada menceburi sektor pertanian. Kebanyakan golongan belia beranggapan bahawa pertanian adalah usaha tradisional, bukan perniagaan yang menguntungkan, kerja kampung, kotor dan tidak berpotensi  dan kononya tidak sesuai dengan trend pekerjaan golongan belia masa kini.

Kurang pengetahuan tentang bagaimana untuk bergerak jauh dalam industri ini sangat mempengaruhi kadar kejayaan pertanian komersial. Oleh sebab itu adalah sangat mustahak untuk mempelajari ilmu pertanian moden atau komersial oleh golongan yang menceburi bidang ini. Tujuannya adalah untuk memastikan kapasiti pengeluaran adalah maksimum dan risiko kegagalan adalah rendah.

Sesungguhnya kerajaan telah berusaha seboleh mungkin sama ada melalui jabatan pertanian terus atau melalui agensi-agensi yang berkaitan untuk membantu masyarakat khususnya golongan muda agar menceburi perniagaan berasaskan pertanian dan berjaya di bidang itu setrusnya menepis mitos bahawa pertanian adalah bidang yang ketinggalan di era serba canggih ini.

Sebagai sokongan menggalakkan generasi baru menceburi perniagaan berasaskan pertanian, kerajaan berusaha untuk menggalakkan penglibatan belia berpendidikan menceburi sektor pertanian komersial.

Khidmat nasihat diberikan kepada golongan belia yang terlibat dalam bidang pertanian dari masa ke semasa hingga usaha yang diceburi mereka menunjukkan kemajuan dan menunjukkan potensi pendapatan yang mengguntungkan.

Perniagaan berasaskan pertanian merupakan bidang yang berpotensi tinggi untuk berjaya dan memulangkan hasil yang sangat lumayan dalam perniagaan pada masa kini. Meskipun wujud cabaran dan juga halangan dalam memastikan objektif bidang pertanian sebagai prospek perniagaan yang menguntungkan secara keseluruhannya, banyak bantuan dan sokongan untuk memaksimumkan daya pengeluaran serta meransang produktiviti sektor ini daripada kerajaan bermula dari berbentuk kredit, teknikal, khidmat nasihat, penyelidikan, pendidikan malah sehingga pemberian baja dan pemasaran.

Kepercayaan dan keyakinan masyarakat perlulah dipupuk bahawa sektor pertanian tidak lagi sektor yang dipandang sebelah mata sebagai sektor yang dahulunya diusahakan oleh golongan miskin yang kononnya berhempas pulas di tanah demi sesuap nasi semata-mata.

Zaman sekarang negara yang tidak serius terlibat dan tidak fokus dalam sektor perniagaan berasaskan pertanian akan terpaksa mengalirkan keluar wang mencecah ratusan billion ringgit setahun bagi tujuan pengimportan hasil pertanian. Amat rugi jika rakyat tidak menyahut seruan untuk memajukan industri pertanian. 

No comments:

Post a Comment