Wednesday, 10 March 2021

AGENDA PENYATUAN ISLAM MELAYU HANCUR

Apabila terbentuknya Muafakat Nasional (MN), terbit sinar mentari untuk menjayakan agenda penyatuan Islam Melayu dengan bergabungnya UMNO Pas yang selama ini menjadi seteru politik paling tegar dalam sejarah politik negara.

Apabila terbentuknya kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Bersatu dan Pas, kekuatan penyatuan Islam Melayu dilihat semakin kukuh.

Namun, kekuatan itu tidak bertahan lama. Sikap tidak jujur dan mengambil kesempatan untuk menguatkan parti sendiri mula melanda.

Bersatu yang nampak kuat hasil Ahli Parlimen melompat ke parti tersebut dimulai dari bekas pemimpin UMNO dan diikuti bekas pemimpin PKR, mula mengatur strategi untuk terus berkuasa.

Bersatu bersama Pas menubuhkan Parti Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk satu blok gabungan parti politik yang bentuknya seperti BN.

Pas yang sebelum itu bersama dengan UMNO bermuafakat dalam MN, nampak lebih sayang pada PN.

UMNO dipelawa untuk turut sama dalam PN. Tentu sekali bukan mudah untuk diterima kerana UMNO sudah berada dalam BN. Berapa blok gabungan yang perlu disertai UMNO? Tentu sekali BN yang akan dipertahankan.

Kalau UMNO sertai PN, lambang mana hendak digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti? Guna logo BN atau PN?

Satu lagi punca UMNO tidak mahu bersama dengan Bersatu dalam PRU15 ialah sikap parti itu yang tidak mahu menyerah kerusi yang kini milik Bersatu hasil bekas ahli UMNO yang melompat parti.

Bersatu kini api dalam sekam kepada penyatuan Islam Melayu. 

Gambar: Hiking Bukit Keluang, Besut. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment