Hubungan kejiranan yang diwarnai sikap
sombong dan mementingkan diri mendatangkan banyak keburukan. Pertama, kita
hilang nikmat hubungan kejiranan. Kita akan merasakan seperti hidup di dalam
penjara di rumah sendiri. Gaya hidup ini mengapa berlakunya tekanan dalam
hidup. Keluarga dan jiran-jiran tidak lagi memberi nilai positif kepada diri
untuk berdepan dengan suasana lebih luas.
Kurangnya interaksi dengan jiran menyebabkan kemahiran komunikasi, pembinaan akhlak, jati diri, budaya dan percambahan fikiran tidak berkembang dengan baik. Ini memberi kesan kepada keseluruhan hidup. Paling ketara berlaku kepada anak-anak di mana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Kita perlu kepada fitrah manusia yang perlu wujud hubungan dengan individu atau keluarga lain. Budaya membina tembok konkrit sebagai pagar kawasan rumah mesti diubah. Sudah memadai jika dibuat pagar kawat atau besi untuk tujuan keselamatan.
Untuk menjaga hubungan baik dalam lingkungan kejiranan, perlu mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang. Manakala itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan.
Peraturan berjiran ini memberikan penyelesaian adil dan berterusan terhadap pelbagai penyakit yang biasa timbul dalam masyarakat. Tidak akan berlaku perkara buruk jika peraturan ditetapkan agama dipatuhi.
Menjaga hubungan kejiranan dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Kehidupan manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar. Punca kerosakan dalam kehidupan ini disebabkan sikap individualistik yang sebati dalam diri manusia. Kongkongan sifat ini menyebabkan manusia menjadi sombong, bongkak dan angkuh sehingga terpaku kukuh sifat ego dalam diri.
Sifat ini juga menyebabkan generasi dewasa ini mencemari budaya murni yang diamalkan sejak turun temurun antaranya budaya hidup berjiran. Menjadi tanggungjawab kita memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.
Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Penghidupan berjiran dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.
No comments:
Post a Comment