Saturday 21 July 2018

GOTONG ROYONG PADA MUSIM BUAH DURIAN

Masyarakat Melayu kaya budaya dan budi pekerti mulia. Bangsa Melayu kreatif untuk melakukan sesuatu dengan perkara yang berlaku sekeliling. Mungkin tidak ramai menyedari bagaimana sesuatu aktiviti gotong royong dilakukan mengikut musim buah.

Antara amalan gotong royong masyarakat Melayu yang kini semakin dilupakan ialah gotong royong membersih kubur. Biarpun sekarang kebanyakan kubur kelihatan bersih dari semak samun, namun sebenarnya dilakukan oleh dua atau tiga orang dengan menggunakan mesin dan ada yang membayarnya. Ada juga melakukan secara percuma.

Pada masa dahulu, membersih kawasan kubur dilakukan secara gotong royong melibatkan hampir keseluruhan pendudukan kampung dari kanak-kanak hingga ke tua. Yang kanak-kanak hadir bukan melakukan kerja, tetapi dibawa sama oleh ibu bapa sebagai latihan dan memupuk budaya murni. Memandangkan ramai yang hadir bersama peralatan sendiri, sebenarnya tidak lama kerja yang dilakukan. Sekejap sahaja dilakukan sudah siap. Itulah untungnya kerja gotong royong. Perkara berat akan menjadi mudah.

Bagaimana pula kaitan gotong royong dengan musim buah? Dahulu buah-buahan banyak di kampung. Jadi, untuk berkongsi rezeki, mereka ingin mengagihkan kepada jiran yang lain. Cara mudah untuk berkongsi satu kampung ialah dengan mengadakan gotong royong membersih kubur dan selepas itu diadakan jamuan buah-buahan. Paling popular tentu sekali durian yang dijadikan pulut durian dan serawa durian.

Begitulah, akrabnya kehidupan masyrakat Melayu dahulu. Bergotong royong dan berkongsi rezeki. Masing-masing rasa bertanggungjawab terhadap kampung sendiri dan menjalin hubungan mesra sesama penduduk kampung.

Tuesday 17 July 2018

MESIN MINI PROSES PADI

Mesin mini memproses padi menjadi beras. Teknologi membantu manusia mudah melakukan sesuatu tugasan atau keperluan. Kebanyakan teknologi baru bukan sahaja lebih baik dari segi kecekapan berbanding jentera atau mesin sebelumnya, tetapi juga dari segi ukuran lebih kecil.

Lihat sahaja gambar mesin memproses padi di atas. Ukurannya kecil dan mudah ditempatkan di kawasan kecil dan senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. 

Kalau dahulu, sebut sahaja mesin memproses padi menjadi beras, ukurannya memang besar. Perlu beroperasi dalam tempat atau kilang yang luas. Paling kecil mesin memproses padi pada masa dahulu memerlukan kawasan 10 meter kali 2 meter. Itu hanya baru untuk meletak mesin.

Dengan mesin mini memproses padi, hanya kawasan kecil diperlukan. Sudah namanya mini, kuantiti yang mampu diproses juga sedikit untuk satu-satu tempoh masa, tetapi sudah dianggap ‘cekap’ dan maksimun untuk satu ukuran mesin yang kecil dan kos yang rendah.

Tulisan ini bukan ingin mempromosi mesin mini memproses padi menjadi beras gambar di atas, tetapi bercakap tentang wujudnya mesin-mesin mini seperti itu. 

Sebenarnya banyak lagi mesin memproses beras mini yang ada di pasaran. Dengan anggaran harga RM2000 hingga RM5000 anda sudah boleh membeli mesin mini memproses padi menjadi beras seumpama ini.  

Saturday 14 July 2018

MAKLUMAT DAERAH MELAWI BACHOK

Melawi adalah satu daerah (mukim) dalam jajahan (daerah) Bachok yang terletak menghadap ke laut China Selatan. Di sebelah timur dan utaranya pula bersempadan dengan daerah Perupok. 

Di baratnya pula bersempadankan daerah Tanjung Pauh dan Bekelam serta Gunong dan sebelah selatannya pula bersempadan dengan Daerah Telong.

Luas daerah Melawi lebih kurang 30.06 km persegi yang didiami kira-kira 20,000 orang penduduk (perangkaan 2014). Daerah Melawi mengandungi 8 mukim (kampung) yang diketuai 8 orang penghulu (ketua kampung).

Penempatan yang paling ramai didiami ialah kawasan tepi pantai seperti Kg. Changgong, Pantai Chpa, Pantai Baru, Kg. Badak dan Pantai Melawi sehingga Kg. Limau Nipis bersempadan Daerah Telong.

Kawasan sumber ekonomi ialah Cabang Tiga Melawi dan kawasan pertanian ialah di Kg. Padang Cina, Kg. Mujur dan Kg. Alor Pulai serta Kg. Kuau.

Melawi menjadi 'penanda' kepada pengguna jalan raya dari Kota Bharu ke Tok Bali, serta ke Kuala Besut dan tempat lain di Terengganu. Selepas melalui Melawi, pejalanan terus ke selatan tanpa terdapat cabang sehinggalah Tok Bali.

Keistimewaan daerah Melawi yang semakin disebut ialah Pantai Melawi. Biarpun tidak segah Pantai Irama yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ, Pantai Melawi semakin terkenal sebagai alternatif kepada mereka yang ingin mengelak berada di tempat ramai orang.



Tuesday 10 July 2018

BERSIH HATI IKUT PENDEKATAN TASAWUF

 
Pendekatan tasawuf boleh diaplikasikan untuk membudayakan nilai murni secara teratur dan terancang. Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya ‘Awarif al-Ma’arif, menukilkan maksud tasawuf sebagai individu sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu.

Kaedah tasauf memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa itu bertujuan mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.

Penegasan itu disentuh oleh Ibn Abidin dalam penulisannya ‘Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Dur Mukhtar Ibn ‘Abidin’ dengan memberikan ulasan: “Dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu mengenai sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takbur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lain-lainnya.  

Imam al-Ghazali (1058-1011) dalam kitab Ihya Ulum al-Din berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab ‘al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan, faktor, tanda, dan upaya penyembuhkannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”

Kesucian dan ketenangan hati daripada nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat.

Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan sunat seperti zikir, qiamulail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajud) serta amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan Penciptanya.

Amalan dinyatakan itu sebahagian mekanisme bertujuan mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoran nilai keji (mazmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai keji itu didorong nafsu syahwat boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah SWT.

Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna. Justeru, andai kata jiwa manusia dilingkari nilai keji maka ia perlu berusaha memperbaiki dan menyucikannya.

Jika nilai itu tidak dapat diatasi, nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke lembah kejahatan. Melalui latihan berorientasikan nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan memenuhi keperluan kerangka nilai murni yang luhur.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.” (Surah al-Taubah, ayat 112)

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat itu adalah pujian daripada Allah SWT terhadap hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasan, golongan ini disediakan dengan syurga.

Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan rukuk dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia lain ke jalan yang baik dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Lantaran itu, Allah SWT menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian.

Nabi SAW bersabda: “Allah berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

Berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunah, dapat difahami bahawa manusia yang dilengkapi nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredai Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa nilai murni dihayati individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya.

Sunday 8 July 2018

KATEGORI NAMA JALAN DI MALAYSIA

Kategori nama jalan di Malaysia dinamakan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan perbandaran dan jalan kampung atau jalan agensi. Jalan persekutuan dan jalan negeri menggunakan nombor pengenalan masing-masing. 

Jalan persekutuan akan menggunakan tiga angka contohnya Jalan Persekutuan 223 atau Federal Route 223 merujuk Jalan Pantai Cahaya Bulan. Nombor untuk jalan negeri pula dimulai dengan huruf yang diwakili negeri masing-masing dan diikuti dengan nombor.

Contohnya negeri Selangor dimulai huruf B, Perak (A), Melaka (M), Negeri Sembilan (N), Johor (J), Pahang (C), Terengganu (T), Kelantan (D), Pulau Pinang (P), Kedah (K) dan Perlis dimulai huruf R. Jalan negeri diuruskan oleh JKR negeri masing-masing.

Jalan pembandaran diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan. Manakala jalan kampung, jalan estet dan jalan agensi (contoh Kesedar) diuruskan oleh agensi atau pihak yang berkaitan.

Friday 6 July 2018

SEJARAH KAMPUNG SEMUT API PANTAI PCB

Kampung Semut Api sinonim dengan nama Pantai Cahaya Bulan atau Pantai Cinta Berahi yang lebih dikenali Pantai PCB. 

Kampung Semut Api adalah kampung dan juga mukim terkenal kerana menjadi lokasi terletak Pantai PCB. Kampung Semut Api terletak kira-kira 10 kilometer dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu.

Terdapat dua versi mengenai asal nama Kampung Semut Api. Versi pertama dikaitkan dengan sejarah pada masa dahulu yang mana penduduk kampung yang terdiri keluarga nelayan akan menyalakan api di kawasan sebuah bangsa yang dibina di sebuah kuala.

Sabut dan daun kelapa kering disumbat bersama untuk menyalakan api dengan besarnya agar boleh dilihat oleh nelayan yang pulang ketika matahari menghilang. Dari perkataan sumbat dan kuala itu dinamakan kampung ini dengan perkataan Kuala Sumbat Api yang kemudiannya ditukar kepada Kuala Semut Api.

Satu lagi kisah yang dikaitkan dengan asal nama Kampung Semut Api ialah banyaknya terdapat semut api di kampung itu. Keadaan itu berlaku ketika setiap kali musim banjir yang mana kumpulan semut merah atau lebih dikenali dengan nama semut api hanyut dari kawasan lain dan berkumpul di kampung itu dan selebih lagi hanyut ke laut. 

Memandangkan jumlah semut api yang banyak itu, maka ia dikenali dengan nama Kuala atau Kampung Semut Api.

Kampung Semut Api, khususnya di kawasan pantai melalui proses pembangunan selari dengan berkembangnya aktiviti pelancongan di kawasan itu. 

Pantai Semut Api menjadi lokasi peranginan paling menonjol di Kelantan kerana kedudukannya tidak jauh dari Kota Bharu.

Pantai Semut Api yang kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi menjadi lokasi pegawai tentera Jepun dan kemudian tentera atau pemimpin Inggeris ketika kedua-dua negara itu pernah menjajah Kelantan. 

Nama Cinta Berahi dikaitkan dengan tempat itu yang menjadi tempat pasangan kekasih memadu cinta berahi mereka. Pantai Cinta Berahi menjadi pilihan untuk pasangan baharu berkahwin berbulan madu di situ.

Namun, nama Pantai Cinta Berahi telah ditukar menjadi Pantai Cahaya Bulan apabila PAS memerintah Kelantan bermula pada 1990. 

Namun pertukaran itu masih mengekalkan nama Pantai PCB yang lebih kerap digunakan oleh penduduk Kelantan. 

Wednesday 4 July 2018

BERAPA KALI SEMINGGU PERLU LAKUKAN HUBUNGAN SEKS

Sukar menetapkan berapa kali seminggu pasangan suami isteri perlu melakukan hubungan seks untuk kehidupan yang baik. Banyak kajian dibuat menemukan keputusan berbeza. 

Ada mengatakan apabila usia meningkat dan mempunyai anak ramai, kadar kekerapan akan berkurangan. Pendapat lain mengatakan usia bukan faktor mutlak menentukan kadar kekerapan melakukan hubungan seks suami isteri. 

Kadar keupayaan seks lelaki tidak menurun biarpun usia meningkat jika kesihatan dalam keadaan baik. Keupayaan seks lelaki berkurangan disebabkan penyakit dan bukan kerana faktor umur. 

Penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan masalah jantung antara punca tenaga lelaki akan berkurangan ataupun tidak mampu berfungsi langsung.  

Setiap pasangan mempunyai pendapat berbeza dalam soal itu. Namun, jangan sekali-kali ambil mudah dalam soal tersebut.  

Banyak pasangan bercerai disebabkan masalah dalam hubungan seks. Pasangan mengalami tekanan disebab tidak mendapat apa yang diharapkan dalam hubungan seks. Semua itu membunuh kebahagian hidup berkeluarga.  

Jadi, pasangan suami isteri perlu berbincang secara terbuka dalam soal ini. Nyatakan apa yang sebenarnya diingini. 

Namun jangan keterlaluan dalam ‘permintaan’ yang mungkin akan menyebabkan pasangan akan rasa tertekan. Sesungguhnya, kesederhanaan itu adalah jalan terbaik.