Tuesday 24 December 2019

KEBAIKAN BERTUKAR ILMU


Saya ada RM 1, awak ada RM 1. Kalau kita tukar suka sama suka RM 1 itu, kita masih lagi ada RM 1 masing-masing.

Tapi, kalau saya ada 1 ilmu dan awak 1 ilmu, kemudian kita betukar-tukar ilmu itu, masing-masing akan ada 2 ilmu".

Kalau kita menggunakan harta akan berkurangan, tetapi jika menggunakan ilmu ia akan bertambah kerana mendapat pengalaman baru dan agar ia tidak dilupakan.

Sebab itu kita kena tingkatkan perkongsian dan penggunaan ilmu. Jangan simpan ilmu hanya di dalam dada atau buku. Ia perlu dimanfaatkan untuk keuntungan bersama.

Thursday 19 December 2019

CARA BAGAIMANA AYAH MENDIDIK ANAK

Cara bapa mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak tentu berbeza daripada yang dilakukan oleh ibu.

Sebagai anak, mungkin ada yang cepat terasa hati dengan ayah kerana secara semula jadi mereka adalah seorang yang tegas, lebih banyak berdiam, dan jarang memujuk.

Namun, itu tidak bermakna mereka tidak peduli, jauh sekali tidak mempunyai perasaan sayang terhadap anak.

Sebagai ketua keluarga, terlalu banyak pengorbanan ayah yang mungkin anak tidak sedari selama ini, termasuklah perasaannya.

Hakikatnya, ayah akan melakukan yang terbaik untuk anak dan keluarganya. Bapa sentiasa memikirkan bagaimana ingin melakukan yang terbaik kepada anaknya secara diam dan seperti tidak ada apa-apa yang dilakukan.

Kebanyakan ayah tidak ingin menunjuk-nunjuk tentang kasih sayang. Apa yang dilakukan adalah untuk memberi anak lebih mempelajari erti kehidupan dan kesabaran. Tentang keberanian dan kebertanggungjawab yang perlu disemai dalam diri anak.

Tuesday 17 December 2019

LOSYEN MAKBUL MUNAJAT DHERBS BAKAR LEMAK

Dherbs Losyen Makbul Munajat adalah krim panas pelbagai guna, boleh digunakan untuk seisi keluarga. Kehangatannya berkesan dan lebih mudah meresap.

BAHAN KRIM PANAS BERHERBA MAKBUL MUNAJAT:
- Halia
- Serai
- Limau Purut

MAKLUMAT KRIM PANAS BERHERBA MAKBUL MUNAJAT
- Krim panas pelbagai guna
- Urutan seluruh badan
- Sapuan pada perut, sendi dan otot
- Sesuai untuk ibu lepas bersalin
- Kegunaan luaran sahaja
- Boleh digunakan sekerap yang mungkin
- Tidak berminyak dan mudah meresap
- Kegunaan seisi keluarga
- Sesuai digunakan oleh lelaki dan wanita
- Membantu membakar lemak dan selulit
- Sesuai digunakan bagi yang terkena gigitan serangga
- Tidak sesuai digunakan untuk bayi.

CARA PENGGUNAAN:
- Picit sedikit di tapak tangan
- Kemudian sapukan dengan sekata di bahagian yang diperlukan.

PERHATIAN:
- Makbul Munajat adalah 2 kali lebih panas
- Sekiranya anda pertama kali menggunakannya, sila guna dalam kuantiti yang sedikit. 
- Untuk kegunaan luar sahaja.

MELEPASKAN 'BATUK' ATAU 'BATOK' DI TANGGA?

Peribahasa seperti melepaskan batuk di tanggan bermaksud orang yang membuat sesuatu kerja dengan tidak sempurna atau hanya mengambil syarat atau dengan kata lain membut kerja secara tidak bersungguh-sungguh.

Mengikut Kamus Dewan maksud perkataan 'batuk' ialah berbatuk mengeluarkan nafas dari paru-paru dengan keras dan bising bunyinya.

Timbul persoalan apa tujuan melepaskan batuk di tangga? Setiap peribahasa ada kaitan dengan apa yang dinyatakan secara tersirat itu.

Maka ada berpendapat bahawa 'batuk' sebenarnya perlu dieja 'batok' yang membawa maksud tempurung. Pada zaman dahulu boleh dikatakan di bahagian hujung tangga di bawah akan disediakan tempayan air. Untuk menceduk air disediakan batok atau gayung diperbuat daripada tempung kelapa.

Batok itu biasanya diletakkan di atas penutup tempayan atau disangkut di mana-mana bahagian.

Berdasarkan kepada 'fakta kejadian' dalam masyarakat dahulu itu, maksud 'batuk' dalam peribahasa itu sebenarnya 'batok'. Kesilapan ejaan berlaku mungkin disebabkan pertukaran ejaan dari Jawi kepada Rumi.

Kalau perkara itu telah disedari, sepatutnya ejaan peribahasa "seperti melepaskan batuk di tangga" perlu ditukar kepada "seperti melepaskan batok di tangga".

Perkara atau cadangan ini bukan pertama kali dicadangkan. Sudah banyak penulisan mengenainya dibuat oleh mereka yang peka kepada perkara ini.

Bahkan, perkara ini telah dikemukakan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertanggungjawab secara langsung berkaitan bahasa. Namun perubahan atau perbetulan tidak dilakukan.

Alasan ialah data dalam Kamus Istimewa Peribahasa Bahasa Melayu ialah "melepaskan batuk di tangga". Peribahasa "melepaskan batuk di tangga" ini telah diterima pakai sekian lama.

Pada pendapat ambo, data itu boleh diubah. Tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan kemudian diwartakan. Cukup dengan Dewan Bahasa dan Pustaka membuat kenyataan mana ejaan yang sebenarnya.

Kalau sejarah besar negara pun ada orang ingin menulis kembali, inikan hanya untuk mengubah satu patah perkataan yang sebenarnya tidak memberi apa-apa kesan, kecuali sekadar membetulkan apa yang sepatutnya.

Friday 13 December 2019

KELANTAN TIDAK PERNAH DIJAJAH INGGERIS


Jika dikatakan negeri-negeri yang mempunyai sultan atau raja iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak dijajah Inggeris, tentu ramai tidak bersetuju kerana sejarah telah mencatatkan bahawa seluruh Tanah Melayu telah dijajah oleh Inggeris.

Sejarah memang tidak boleh diubah. Namun, persepsi pada sesuatu keadaan boleh diubah berdasar kefahaman atau bukti yang diketengahkan untuk menyokong tentang hujah yang dikemukakan.

Sejarah kedatangan Inggeris di Tanah Melayu berlaku apabila Inggeris membuat perjanjian dengan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1798.

Asalnya, hak menduduki kedua-dua kawasan tersebut dibuat atas dasar pajakan yang tidak melepaskan sepenuhnya, namun kemudiannya berlaku sebaliknya sehingga Kedah hilang hak terhadap kedua-duanya sehingga sekarang.

Dalam keadaan itu, kedua-dua kawasan itu layak dipanggil telah dijajah atau hilang kedaulatan untuk diperintah oleh kerajaan asal atau kerajaan selain penduduk asal.

Namun, berbeza dengan kemasukan Inggeris di negeri-negeri lain. Perak negeri Melayu terawal menerima kemasukan pengaruh politik British.

British mengambil kesempatan daripada perebutan takhta kerajaan Perak iaitu pertingkahan antara Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah serta pergaduhan kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San (Perang Larut).

Mengambil keadaan itu, terlaksanan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara Kerajaan British dengan kerajaan Perak. Sistem residen pertama wujud di Perak 1875. Di mana J.W.W Birch dilantik menjadi Residen pertama di Perak.

Jawatan Residen bukan sebagai ketua atau penguasa, sebaliknya hanya sebagai penasihat kerajaan kerajaan Perak. Hak kuasa pemerintahan masih di tangan Sultan dan pembesar-pembesar negeri.

Fakta-fakta ini membuktikan secara langsung dan tidak langsung bahawa kerajaan-kerajaan Melayu ini adalah kerajaan yang berdaulat.

Keadaan ini berterusan sehingga negara diserang oleh Jepun pada 1941. Pada zaman pemerintahan Jepun adalah era Perang Dunia Kedua.

Ketika peperangan masih berlarutan, sebenarnya tiada kuasa boleh mengaku telah menjajah atau menguasai sesebuah negara secara mutlak.

Malah, Jepun sendiri mengaku menyerang negara di Asia Tenggar bukan untuk menjajah, tetapi membebaskan dari genggaman kuasa dari Barat dengan slogan Asia Untuk Asia.

Lagipula, setelah tamat Perang Dunia kedua, kerajaan British telah menugaskan Sir Harold Mac Michael untuk mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu dari Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menyerahkan kedaulatan mereka bagi memudahkan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.

Sekiranya sultan-sultan ini tidak berdaulat, kenapa perlu pihak British untuk mendapatkan persetujuan mereka?

Undang-undang antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik atau pemerintahan itu boleh diiktiraf sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Unsur penting untuk terbentuk sebuah negara ialah kawasan, penduduk, pemimpin dan kedaulatan.

Semua unsur tersebut wujud di negeri-negeri yang dikuasai oleh sultan atau raja yang selayaknya dipanggil sebuah negara atau negeri.

Kewujudan unsur kawasan memang tidak dinafikan memang ada. Penduduknya juga ada di kawasan berkenaan. Manakala pemimpin pula adalah sultan. Unsur kedaulatan diperakui apabila pihak lain menghormati ketiga-tiga unsur di atas.

Inggeris dan negara-negara lain menghormati dan memperakui keempat-empat unsur tersebut yang selayaknya untuk negeri-negeri mempunyai sultan kekal bebas sebagai sebuah negeri.

Isu menerima Inggeris sebagai penasihat atau penaung tidak menjejaskan status sesebuah negeri selagi keempat-empat unsur itu masih wujud.

Selain sultan yang masih dianggap pemimpin tertinggi, urusan pentadbiran negeri masih dilakukan oleh pembesar-pembesar negeri sebagai membantu sultan mentadbir negeri.

Tentang sejarah mengatakan negeri-negeri mempunyai sultan juga dikira dijajah oleh Inggeris adalah persepsi pada ketika itu.

Monday 2 December 2019

SEJARAH PENUBUHAN PASUKAN POLIS

Sistem kepolisan yang moden dan sistematik di negara ini bermula dengan berkuat kuasanya 'Charter of Justice' di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807.

Piagam yang diperkenalkan oleh King George III itu telah memisahkan kuasa kehakiman daripada kuasa perundangan lalu membawa kepada penubuhan sebuah Pasukan Polis di negeri itu.

Menjelang awal abad keduapuluh kesemua negeri di Tanah Melayu telah mentadbir Pasukan Polis sendiri, masing-masing dengan sejarah, tradisi dan peranan yang berbeza-beza. Hampir kesemua pasukan itu menjalankan fungsi separa tentera.

Perkembangan politik di Tanah Melayu akibat campur tangan Inggeris dalam pentadbiran Negeri-negeri Melayu telah membawa perubahan pada Pasukan Polis.

Bermula dengan penubuhan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada tahun 1871 dan kemudiannya penubuhan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1 Julai 1896, sistem kepolisan di negara ini telah beberapa kali berubah sehinggalah membawa kepada penyatuan pentadbiran di bawah panji-panji Polis DiRaja Malaysia pada 16 September 1963.

Selepas Tanah Melayu bebas daripada pemerintahan Jepun pada 1 April 1946, Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah digabungkan di bawah Pasukan Polis Malayan Union dengan pusat pentadbiran di Kuala Lumpur.

Pada 1 Februari 1948, apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, Polis Malayan Union telah ditukar nama kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pasukan ini telah diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Polis.

Perjuangan dan pengorbanan serta khidmat bakti anggota pasukan polis dalam mempertahankan negara dari ancaman pemberontakan bersenjata pengganas Komunis semasa tahun-tahun Darurat 1948 - 1960 telah membawa kepada penganugerahan gelaran 'DiRaja' kepada pasukan polis oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad pada 24 Julai 1958.

Pada 11 November 1961, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan menganugerahkan Panji-panji DiRaja kepada pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Panji-panji DiRaja yang menjadi kebanggaan dan kemegahan pegawai dan anggota Pasukan Polis ini mengandungi lambang Polis DiRaja Persekutuan Tanah Melayu dan disulam dengan benang perak perkataan 'Darurat 1948 - 1960'.

Apabila negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dalam Malaysia pada 16 September 1963, Pasukan Polis telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan diterajui oleh seorang Ketua Polis Negara.

Pada 24 Julai 1971, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah mengurniakan panji-panji kepada Batalion Pasukan Polis Hutan, Pasukan Simpanan Persekutuan dan Polis Marin.

Pada 25 Mac 1976, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Putra telah berkenan menganugerahkan Panji-panji kepada Batalion 17, 18, dan 19 PDRM.

Seterusnya sekali lagi DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman menganugerahkan Panji-panji kepada PDRM pada 11 November 1997.

Pengurniaan Panj-panji ini menggambarkan penghargaan rakyat dan negara kepada PDRM dan khususnya unit-unit tersebut atas sumbangan dan peranan mereka dalam menjaga keamanan, ketenteraman dan ketahanan nasional daripada sebarang ancaman musuh negara.