Monday 2 December 2019

SEJARAH PENUBUHAN PASUKAN POLIS

Sistem kepolisan yang moden dan sistematik di negara ini bermula dengan berkuat kuasanya 'Charter of Justice' di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807.

Piagam yang diperkenalkan oleh King George III itu telah memisahkan kuasa kehakiman daripada kuasa perundangan lalu membawa kepada penubuhan sebuah Pasukan Polis di negeri itu.

Menjelang awal abad keduapuluh kesemua negeri di Tanah Melayu telah mentadbir Pasukan Polis sendiri, masing-masing dengan sejarah, tradisi dan peranan yang berbeza-beza. Hampir kesemua pasukan itu menjalankan fungsi separa tentera.

Perkembangan politik di Tanah Melayu akibat campur tangan Inggeris dalam pentadbiran Negeri-negeri Melayu telah membawa perubahan pada Pasukan Polis.

Bermula dengan penubuhan Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat pada tahun 1871 dan kemudiannya penubuhan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1 Julai 1896, sistem kepolisan di negara ini telah beberapa kali berubah sehinggalah membawa kepada penyatuan pentadbiran di bawah panji-panji Polis DiRaja Malaysia pada 16 September 1963.

Selepas Tanah Melayu bebas daripada pemerintahan Jepun pada 1 April 1946, Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah digabungkan di bawah Pasukan Polis Malayan Union dengan pusat pentadbiran di Kuala Lumpur.

Pada 1 Februari 1948, apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan, Polis Malayan Union telah ditukar nama kepada Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pasukan ini telah diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Polis.

Perjuangan dan pengorbanan serta khidmat bakti anggota pasukan polis dalam mempertahankan negara dari ancaman pemberontakan bersenjata pengganas Komunis semasa tahun-tahun Darurat 1948 - 1960 telah membawa kepada penganugerahan gelaran 'DiRaja' kepada pasukan polis oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad pada 24 Julai 1958.

Pada 11 November 1961, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan menganugerahkan Panji-panji DiRaja kepada pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Panji-panji DiRaja yang menjadi kebanggaan dan kemegahan pegawai dan anggota Pasukan Polis ini mengandungi lambang Polis DiRaja Persekutuan Tanah Melayu dan disulam dengan benang perak perkataan 'Darurat 1948 - 1960'.

Apabila negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dalam Malaysia pada 16 September 1963, Pasukan Polis telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan diterajui oleh seorang Ketua Polis Negara.

Pada 24 Julai 1971, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah mengurniakan panji-panji kepada Batalion Pasukan Polis Hutan, Pasukan Simpanan Persekutuan dan Polis Marin.

Pada 25 Mac 1976, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Yahya Putra telah berkenan menganugerahkan Panji-panji kepada Batalion 17, 18, dan 19 PDRM.

Seterusnya sekali lagi DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar Tuanku Abdul Rahman menganugerahkan Panji-panji kepada PDRM pada 11 November 1997.

Pengurniaan Panj-panji ini menggambarkan penghargaan rakyat dan negara kepada PDRM dan khususnya unit-unit tersebut atas sumbangan dan peranan mereka dalam menjaga keamanan, ketenteraman dan ketahanan nasional daripada sebarang ancaman musuh negara.

No comments:

Post a Comment