Friday 13 December 2019

KELANTAN TIDAK PERNAH DIJAJAH INGGERIS


Jika dikatakan negeri-negeri yang mempunyai sultan atau raja iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak dijajah Inggeris, tentu ramai tidak bersetuju kerana sejarah telah mencatatkan bahawa seluruh Tanah Melayu telah dijajah oleh Inggeris.

Sejarah memang tidak boleh diubah. Namun, persepsi pada sesuatu keadaan boleh diubah berdasar kefahaman atau bukti yang diketengahkan untuk menyokong tentang hujah yang dikemukakan.

Sejarah kedatangan Inggeris di Tanah Melayu berlaku apabila Inggeris membuat perjanjian dengan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1798.

Asalnya, hak menduduki kedua-dua kawasan tersebut dibuat atas dasar pajakan yang tidak melepaskan sepenuhnya, namun kemudiannya berlaku sebaliknya sehingga Kedah hilang hak terhadap kedua-duanya sehingga sekarang.

Dalam keadaan itu, kedua-dua kawasan itu layak dipanggil telah dijajah atau hilang kedaulatan untuk diperintah oleh kerajaan asal atau kerajaan selain penduduk asal.

Namun, berbeza dengan kemasukan Inggeris di negeri-negeri lain. Perak negeri Melayu terawal menerima kemasukan pengaruh politik British.

British mengambil kesempatan daripada perebutan takhta kerajaan Perak iaitu pertingkahan antara Raja Yusof, Raja Ismail dan Raja Abdullah serta pergaduhan kongsi gelap Cina Ghee Hin dan Hai San (Perang Larut).

Mengambil keadaan itu, terlaksanan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 antara Kerajaan British dengan kerajaan Perak. Sistem residen pertama wujud di Perak 1875. Di mana J.W.W Birch dilantik menjadi Residen pertama di Perak.

Jawatan Residen bukan sebagai ketua atau penguasa, sebaliknya hanya sebagai penasihat kerajaan kerajaan Perak. Hak kuasa pemerintahan masih di tangan Sultan dan pembesar-pembesar negeri.

Fakta-fakta ini membuktikan secara langsung dan tidak langsung bahawa kerajaan-kerajaan Melayu ini adalah kerajaan yang berdaulat.

Keadaan ini berterusan sehingga negara diserang oleh Jepun pada 1941. Pada zaman pemerintahan Jepun adalah era Perang Dunia Kedua.

Ketika peperangan masih berlarutan, sebenarnya tiada kuasa boleh mengaku telah menjajah atau menguasai sesebuah negara secara mutlak.

Malah, Jepun sendiri mengaku menyerang negara di Asia Tenggar bukan untuk menjajah, tetapi membebaskan dari genggaman kuasa dari Barat dengan slogan Asia Untuk Asia.

Lagipula, setelah tamat Perang Dunia kedua, kerajaan British telah menugaskan Sir Harold Mac Michael untuk mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu dari Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menyerahkan kedaulatan mereka bagi memudahkan pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.

Sekiranya sultan-sultan ini tidak berdaulat, kenapa perlu pihak British untuk mendapatkan persetujuan mereka?

Undang-undang antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik atau pemerintahan itu boleh diiktiraf sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Unsur penting untuk terbentuk sebuah negara ialah kawasan, penduduk, pemimpin dan kedaulatan.

Semua unsur tersebut wujud di negeri-negeri yang dikuasai oleh sultan atau raja yang selayaknya dipanggil sebuah negara atau negeri.

Kewujudan unsur kawasan memang tidak dinafikan memang ada. Penduduknya juga ada di kawasan berkenaan. Manakala pemimpin pula adalah sultan. Unsur kedaulatan diperakui apabila pihak lain menghormati ketiga-tiga unsur di atas.

Inggeris dan negara-negara lain menghormati dan memperakui keempat-empat unsur tersebut yang selayaknya untuk negeri-negeri mempunyai sultan kekal bebas sebagai sebuah negeri.

Isu menerima Inggeris sebagai penasihat atau penaung tidak menjejaskan status sesebuah negeri selagi keempat-empat unsur itu masih wujud.

Selain sultan yang masih dianggap pemimpin tertinggi, urusan pentadbiran negeri masih dilakukan oleh pembesar-pembesar negeri sebagai membantu sultan mentadbir negeri.

Tentang sejarah mengatakan negeri-negeri mempunyai sultan juga dikira dijajah oleh Inggeris adalah persepsi pada ketika itu.

No comments:

Post a Comment