Wednesday, 23 November 2022

BERPADA-PADA ZAHIRKAN KEBENCIAN

Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Begitu juga dengan perasaan benci akan lahir apabila ada perkara tidak kita sukai. Kedua-dua perasaan itu lumrah dan sifat semula jadi manusia.
 
Biarpun ia sifat semula jadi yang sukar dipisahkan daripada manusia, perasaan kasih mahupun benci perlu dikawal. Sebaik-baik keadaan adalah bersederhana.
 
Kebencian melampau boleh merosakkan diri. Begitu juga cinta keterlaluan boleh menjadikan manusia gila. Sebab itu, berpada-padalah dalam menzahirkan kebencian dan kecintaan.
 
Kata Abu Hurairah: “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” (Sunan Tirmizi No: 1997)
 
Hasan Bashri berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”
 
Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

Gambar hiasan - Suasana pagi di Kampung Jerek oleh Mohd Khairul Bahri bin Ismail

No comments:

Post a Comment