Lebuh Raya Persisir Pantai Barat (WCE) merupakan lebuh raya antara
bandar yang menghubungkan Changkat Jering di negeri Perak ke Banting negeri
Selangor sepanjang 314.5kilometer (km) dengan melalui destinasi utama seperti
Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di
negeri Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam
dan Banting di Selangor.
Lebuh Raya WCE disiapkan secara berperingkat atau dikenali seksyen.
Seksyen terbaharu yang dirasmikan dan dibuka kepada pengguna ialah Seksyen 11, Persimpangan
Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas.
Lebuh Raya WCE Seksyen 11 yang melibatkan jajaran sepanjang 35.5km yang
menghubungkan pengguna secara terus dari Lebuh Raya PLUS di Changkat Jering ke
Beruas, Perak.
Seksyen ini dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula dari
jam 12.01 tengah malam pada 12 Mac 2024 (Selasa). Pembukaan Lebuhraya WCE
Seksyen 11 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering
ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit sahaja berbanding 55 minit
sebelum ini melalui laluan sedia ada.
Pengurangan masa perjalanan ini pastinya memberikan penjimatan kos bahan
api bagi pengguna yang menuju ke selatan Perak sehingga ke Selangor dan juga
merupakan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan dan mengurangkan kesesakan
terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.
Ia juga merupakan akses yang lebih mudah kepada pengguna untuk ke
destinasi pelancongan menarik di sekitar negeri ini seperti Zoo Taiping, Taman
Tasik Taiping, Hutan Paya Bakau Matang, Muzium Perak, Pantai Remis dan Pulau
Pangkor.
Di samping itu, Lebuhraya WCE ini turut memainkan peranan dalam
memangkin penjanaan ekonomi masyarakat setempat persisiran pantai barat
semenanjung yang terkenal dengan makanan laut dan penghasilan hasil laut.Ini
sekaligus memberi impak sosio-ekonomi yang lebih besar kepada negeri Perak dan
Negeri Selangor melalui sambungan akses sedia ada dari lebuh raya ke pelabuhan.
Ia juga akan menjadi laluan pilihan utama kepada aktiviti ekonomi
logistik yang berurusan secara langsung dengan pelabuhan-pelabuhan seperti
Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang.
Dengan pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini, ia akan memberikan
alternatif yang lebih selesa kepada pengguna yang menuju ke utara dengan laluan
yang lebih landai dan kurang berbukit.
Jajaran ini juga menyediakan lebih
kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna sebagai
pelengkap keseluruhan jajaran WCE di negeri Perak dan pastinya akan memberi
manfaat besar kepada pengguna terutamanya dalam penyuraian trafik, penjimatan
masa, penjimatan kos perjalanan (bahan api) dan pemanduan yang selesa dan
selamat.
No comments:
Post a Comment