Setiap musibah ada hikmah. Setiap kejadian
ada pengajaran. Kata filsuf Yunani, Aeschylus (525-456 SM): “Daripada
penderitaan datang kebijaksanaan”.
Namun, tidak bermakna kita perlu mencipta
penderitaan semata-mata untuk mendapat kebijaksanaan. Kita boleh mendapat
kebijaksanaan melalui pengajaran atau pengalaman sebelum ini, sama ada dilalui
sendiri atau dialami pihak lain.
Rakyat Malaysia tidak henti-henti berbalah
tentang semua perkara. Dari isu sosioekonomi lokal hingga krisis kemanusiaan
global di Gaza. Semuanya dipolitikkan. Bahkan, pasal rumah tangga artis pun
kita semua boleh bergigit-gigit.
Setiap hari, di media sosial penuh dengan
kata-kata yang memecahkan. Marak api kemarahan ditiupkan tidak kira masa. Akibatnya,
api di dalam sekam tidak lagi sekadar membara di dalam, tetapi telah membakar
segenap apa yang ada berhampirannya. Ajaran agama tidak lagi dijadikan panduan,
tetapi rasa kemarahan dibaluti hasutan musuh lebih diberi perhatian untuk
diikuti.
Berbeza pendapat itu tidak mengapa. Tetapi yang
tidak bagus, bila kita berlainan sudut pandang dan saling menyakiti sesama sendiri.
Menyerang dan melukakan sesama sendiri. Musuh bertepuk tangan mengharapkan kita
terus bersengketa.
Sesungguhnya, pokok yang besar tidak
tumbang hanya angkara mata kapak, tetapi turut dibantu pemegang yang diperbuat
daripada kayu.
Sebatang mancis mula terbakar kerana belerang
yang dipanggil “kepala” digeserkan, tetapi akibatnya seluruh batang mancis juga
akan turut terbakar. Kalau ada kepada, biar ada otak. Kepala tanpa otak akan
mudah terbakar.
Ingatlah, kita semua berkongsi hanya satu
tanah air, iaitu Malaysia. Kita mesti suburkan tanah ini dengan pohon-pohon
cinta. Bukan disemai dan ditanam dengan api sengketa.
Jadilah air yang menghidupan rasa cinta dan
mematikan marak api kemarahan. Kalau tidak mampu menjadi batu permata, jangan
pula menjadi batu api.
No comments:
Post a Comment