Tuesday 26 March 2024

ASAL NAMA KAMPUNG BADAK, BACHOK

 
Di kawasan Bachok dahulu dipercayai kawasan hutan yang terdapat pelbagai jenis haiwan liar seperti gajah, rusa, badak dan pelbagai jenis lain. Sebab itu di kawasan sekitara Bachok terdapat nama tempat atau kampung yang mengambil sempena nama binatang.
 
Berhampiran Kampung Beris Lalang ada kampung dikenali Kampung Gong Gajah. Di Tawang ada nama Kampung Gajah. Dekat dengan pekan Jelawat ada Kampung Rusa. Ada juga nama Kampung Badak Mati di Jelawat. Satu lagi kampung dimengambil nama binatang ialah Kampung Badak.
 
Kampung Badak terletak di antara pekan Bachok dengan pekan Jelawat. Kampung Badak antara kampung yang terkenal di Bachok kerana ada dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Badak.
 
Selain nama kampung, Badak juga adalah nama mukim. Maknanya, ada Masjid Mukim Badak yang dikenali Masjid An-Nur. Masjid An-Nur pernah dinobatkan sebagai Masjid Terbaik Jajahan Bachok.
 
Kedudukan Kampung Badak di laluan utama Kota Bharu menuju ke Terengganu melalui jalan pantai menjadikan ia turut dikenali.
 
Nama Kampung Badak dipercayai diambil daripada nama binatang badak. Pada masa dahulu ketika kampung itu mula diteroka, pernah berlaku badak masuk kampung dan memusnahkan kawasan kampung terutama kawasan kebun. Penduduk berusaha menghalau badak tersebut dengan membaling batu, kayu dan sebagainya.
 
Badak itu cedera dan melarikan diri ke kampung lain dan kemudian mati di satu tempat yang kini dikenali dengan nama Kampung Badak Mati. Manakala tempat yang mana badak itu mula dihalau sehingga menyebabkan tercedera dikenali dengan nama Kampung Badak. 


No comments:

Post a Comment