Sunday 23 June 2024

AYAM SAGA CEPAT TAHAN LASAK

 
Bersifat dwifungsi iaitu boleh diternak untuk pengeluaran daging atau telur menjadi antara keistimewaan dimiliki ayam saga yang dibangunkan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
 
Ayam baka istimewa itu mula dibangunkan MARDI sejak tahun 2008 dan kini dianggap sebagai masa depan untuk industri penternakan memandangkan ia berupaya menampung permintaan ayam dan telur yang semakin tinggi.
 
Dengan ciri-ciri seperti ayam kampung iaitu lincah, aktif dan tahan lasak, spesies unggas itu juga hanya mengambil masa singkat untuk diternak sebelum dijual kepada orang ramai.
 
Ayam saga bagi penghasilan daging hanya memerlukan sekitar 10 hingga 12 minggu untuk dituai kerana dalam tempoh tersebut sudah mencapai berat hampir 1.5 hingga 1.8 kilogram bagi ayam jantan dan 1 hingga 1.2 kilogram bagi ayam betina.
 
Manakala untuk penghasilan telur pula ujarnya, ayam betina sudah mula bertelur pada usia 16 minggu dan penghasilan telurnya juga lebih banyak berbanding ayam biasa iaitu mencapai 125 biji telur dalam tempoh semusim.
 
Telur yang dihasilkan ayam saga juga lebih besar berbanding ayam biasa, sementara dagingnya pula mempunyai tekstur kenyal dan pejal, selain isinya yang manis sama seperti ayam kampung.
 
Walaupun mempunyai pelbagai keistimewaan, namun masih ada dalam kalangan masyarakat kurang cakna tentang ayam saga mungkin kerana banyak orang beranggapanayam itu sama seperti ayam biasa sahaja.
 
MARDI mengambil inisiatif untuk mempromosikan ayam ini supaya masyarakat atau penternak mengenali keunikan yang ada pada ayam daripada baka jenis ini.
 
Ayam saga mempunyai keunikan rasa tersendiri dan tempoh matang untuk disembelih hanya mengambil masa tiga hingga tiga bulan setengah berbanding ayam kampung asli, antara empat hingga lima bulan.
 
Makanan menjadi elemen paling penting dalam penternakan ayam berkualiti dan mampu menghindari penyakit. Namun, ketika ini harga makanan komersial semakin meningkat dan ia boleh memberi kesan kepada kos penjualan kepada pengguna.
 
Jadi, ada penternak mencampurkan 20 peratus makanan alternatif terdiri daripada pokok ketum ayam dan jagung yang ditanam di sekeliling ladang.
 
Ayam saga mendapat permintaan tinggi daripada pembeli kerana ayam itu digemari pelbagai bangsa di Malaysia dan pekerja asing.
 
Bagi telur ayam saga dijual pada harga antara 50 sen hingga 80 sen sebiji, anaknya yang hidup dijual pada RM2.50 seekor dan daging siap diproses mampu mencecah RM18 sekilogram kepada pembeli akhir.

No comments:

Post a Comment