Tuesday 15 October 2024

BERJUANG MENCAPAI KEJAYAAN PERLUKAN KEBERANIAN

 
Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup. Sebelum lahir ke dunia ini, setiap individu telah melalui perjuangan untuk memastikan ia dilahirkan ke dunia.
 
Bermula dari berjuta benih lelaki hanya 'dia' yang mampu bercantum dengan benih si ibu dan seterusnya melalui proses yang bukan sedikit mengalami kegagalan. Justeru, berbanggalah anda yang terhebat sehingga dilahirkan di alam nyata ini.
 
Namun, segala kehebatan itu tidak bermakna jika tidak diteruskan perjuangan untuk berjaya di dunia ini. Jika di alam rahim, anda mengharapkan sokongan dan bantuan dari ibu, namun di alam nyata ini anda perlu tahu dan mahu berdikari untuk mendapat apa yang diingini.
 
Kehidupan ini bukan bergantung kepada nasib. Ia perlukan kepada daya dan usaha untuk semua maksud yang diingini. Semua itu perlukan kepada keinginan yang kuat dan keberanian.
 
Satu nilai keberanian ialah sanggup melakukan perkara yang ada kesukaran padanya. Antara saat indah dalam kehidupan ialah setelah kita mencapai kejayaan yang sebelumnya manusia pernah berkata kepada kita bahawa “kamu tidak mampu melakukannya”.
 
Orang yang cekal dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak pernah merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh dan tidak disengajakan. Sebaliknya mereka akan menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamatnya serta mendapat keredhaan Allah.
 
Yakinlah bahawa apa sahaja yang terjadi adalah ketentuan Allah atas apa yang kita usahakan. Tidak ada satu perkara pun yang mustahil bagi Allah. Maka, jika kita beriman kepada Allah dan hanya mengharapkan redaNya, cekalkan hati untuk mendapat apa yang diingini.
 
Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 26 yang bermaksud: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".
 
Hanya mereka yang tabah dan cekal akan berjaya. Dia tidak pernah berasa kecewa dengan kegagalan yang dihadapi kerana setiap usaha yang dilakukan tetap mendapat pembalasan dari Allah SWT. Jika tiada kejayaan dan kebaikan diperoleh di dunia ini, di akhirat nanti Allah SWT tidak akan mempersia-siakan kebaikan yang dilakukan itu dengan memberi balasan pahala.
 
Maka itu jangan mudah berputus asa. Hidup ini bukan untuk di dunia sahaja, tetapi kebaikan di akhirat yang lebih diharapkan. Teruskan bertekad untuk melakukan kebaikan biarpun sekecil zarah. Berusahalah menjauhkan keburukan biarpun sekecil zarah. Sesungguh sama ada kebaikan mahupun keburukan tetap akan dinilai dan diberi pembalasan di akhirat nanti.
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah az-Zalzalah, ayat 7-8)
 
Dalam usaha melakukan kebaikan, usah sesekali memandang remeh terhadap amalan yang dilihat kecil oleh mata kasar. Sesungguhnya Allah SWT menilai amalan yang dilakukan oleh seseorang hamba dengan pandangan rahmat-Nya. Keadaan setiap orang berbeza-beza ketika melakukan kebaikan.

No comments:

Post a Comment