Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara bermula di
Besut dan berakhir di Kemaman yang terletak di selatan.
Terengganu dibahagikan kepada lapan
daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Dungun,
Kemaman, Setiu dan Besut.
Sebenarnya terdapat beberapa cerita
yang dikaitkan dengan asal nama negeri Terengganu. Terdapat tiga versi cerita
paling popular yang dikatakan mempuanyai kaitan dengan nama asal Terengganu
iaitu perkataan "terangnya ganu", "taring anu", dan
"terengan nu".
Perkataan "terengnya ganu"
dikaitkan dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang
kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun
menyatakan "teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan
mereka menyatakan di negeri jiran yang mereka lawati itu sungguh "terang
ganunya".
Sementara itu perkataan "taring
anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan
Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama
negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di satu kawasan hulu
negeri Terengganu.
Apabila mereka tiba di satu tempat
yang kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati, salah seorang daripada
anggota rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada
temannya, taring apa? Latas, salah seorang daripadanya menyatakan "taring
anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama sebenar binatang yang
bertaring tersebut.
Tidak lama kemudian, antara mereka
dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat
mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu
diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "taring anu". Begitu
juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka
menyatakan di "taring anu". Lama kelamaan tempat itu dikenali dengan
Terengganu.
Satu lagi kisah berkaitan kisah
"taring anu" yang berlaku di satu tempat lain yang melibatkan
penduduk tempatan. Kisah ini menyatakan yang "taring anu" berasal
daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau yang
kini dikenali sebagai Pulau Duyung.
Ketua pulau tersebut menyembahkan
kepada raja "taring anu tuanku". Dengan itu kuala sungai itu disebut
sebagai Kuala Sungai Taring Anu yang kemudiannya dikenali Kuala Sungai Terengganu.
Dipercayai bahawa Terengganu
merupakan antara penampatan terawal di negara kita. Peta Semenanjung Tanah
Melayu yang dibuat oleh Ptolemy (seorang ahli Kaji Bintang dan Ilmu Alam Greek
yang terkenal yang hidup dalam kurun kedua sebelum Masehi) ada menunjukkan dua
buah pelabuhan di Pantai Timur yang dinamakan "Perimula" dan
"Kole". Nama pelabuhan "Perimula" itu dipercayai ialah Kuala
Sungai Terengganu dan pelabuhan "Kole" ialah Kemaman.
Ada juga ahli sejarah yang
berpendapat, pada zaman dahulu, Negeri Terengganu ini dikenali dengan nama
"Tanah Merah".
Menurut cacatan sejarah, ada
pelawat-pelawat Cina pada masa dahulu memberi nama Terengganu dengan "Ting
Chia Hsia Lu. Dalam peta Wu Pei Chih, sekitar tahun 1511M hingga 1601M,
berdasarkan kepada kenyataan yang diambil daripada pelayaran Cheng Ho ke Tanah
Melayu, ada menunjukkan Pulau Tinggol (di hadapan Dungun) dan beberapa buah
pulau di negeri Terengganu dan Kelantan.
Di dalam peta yang diperbuat oleh
Linschoten pada tahun 1623M, Terengganu disebut "Perengenaok". Peta
ini ada menunjukkan nama Capas (Pulau Kapas), Pulau Redang dan beberapa pulau
yang bernama Fancian yang letaknya di tempat Pulau Perhentian sekarang.
Manakala di dalam syair Jawa yang
bernama "Negarakertagama" yang dikarang dalam tahun 1365 oleh
Prapancha seorang sami ugama Buddha di Majapahit ada menyebutkan nama beberapa
buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang tertakluk kepada Majapahit, di
antaranya ialah Terengganu, Dungun dan Paka.
Pengarang sejarah China yang bernama
Chao Ju Kua yang menulis di dalam tahun 1225M ada menyebut nama Terengganu
dengan Tong Ya Nong dan Kai Lan Tan (Kelantan) sebagai dua buah pelabuhan di
Pantai Timur Semenanjung yang terletak di bawah pemerintahan Seri Vijaya
Palembang.
Pelliott seorang ahli sejarah yang
menulis dalam tahun 1904M pula ada menyebut beberapa nama bagai Terengganu di
dalam bahasa Cina yang diambil daripada buku Cina itu nama Tin Ko Nou, Ting Kia
Lou dan Ting Ko Lo.
Selain kemungkinan yang dijelaskan
di atas, satu lagi kemungkinan nama Terengganu itu diambil asalnya dari
perkataan "Terenggani" dari bahasa Tamil yang bererti 'Tanah
Berbukit'. Dipercayai pada masa lampau ramai pelawat India yang sampai di
Terengganu yang melihat negeri ini di sepanjang pantainya dari laut kelihatan
banyak berbukit.
Bagaimanapun, berdasarkan catatan
bertulis di batu bersurat yang dijumpai di Kampung Buloh, Kuala Berang, tertera
perkataan "Terenkanu" dan di atas duit timah (pitis) yang bertarikh
1310H (1891M) ejaannya pula ialah "Terkanu".
Apapun mengenai sejarah lampau
mengenai Terengganu, wajah Terengganu moden yang turut dikenali Darul Iman
adalah negeri yang mempunyai ciri-ciri istimewa dan unik. Terengganu cukup
terkenal sebagai negeri pengeluar petrolium utama di Malaysia. Jadi, tepat
sekali Terengganu diberi jolokan dengan nama Kuwait Malaysia.
Negeri Terengganu mendapat manfaat
besar daripada hasil kemajuan dan rangsangan ekonomi daripada aktiviti
berkaitan petrolium. Nama Kerteh dan Paka cukup sinonim dengan industri
petrolium yang menukar wajar kedua-dua tempat yang asalnya kampung nelayan
menjadi satu bandar moden.
Selain mengharapkan sumbangan
daripada industri berkaitan petrolium, Terengganu juga giat menjadikan bidang
pelancongan sebagai penjana aktiviti ekonomi. Setiap tahun Terengganu
mencatatkan peningkatan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Ramai
pelancong berkunjung ke Terengganu kerana tertarik dengan keindahan pantai
peranginan, pulau yang kaya dengan khazanah laut, hutan lipur, tasik dan air
terjun yang menarik.
Di sepanjang pantai terdapat banyak
tempat menarik sudah dibangunkan sebagai pantai peranginan. Manakala banyak
lagi yang berpotensi untuk dimajukan dan mempunyai daya tarikan yang tidak
kurang hebatnya.
Kawasan tepi pantai tidak sukar
dibangunkan sebagai pusat peranginan memandangkan jalan-jalan utama di
Terengganu adalah selari dengan pantai. Sistem jalan raya yang baik membantu
membangunkan sesuatu kawasan sebagai pusat peranginan.
Nama tempat seperti Rantau Abang,
Batu Buruk. Batu Rakit, Rhu Sepuluh, Bukit Keluang, Merang, Kemasik, Tanjong
Jara dan Telok Gadong merupakan pantai-pantai peranginan terkenal.
Terengganu juga beruntung kerana
mempunyai beberapa buah pulau yang menarik. Pulau Perhentian, Pulau Kapas,
Pulau Bidong dan Pulau Redang cukup terkenal bukan sahaja di kalangan pelancong
tempatan, bahkan pelancong luar negara.
Keindahan pulau yang dikelilingi
lautan kaya dengan hidupan laut seperti batu karang, rumpaiar, ikan beraneka
jenis dan sebagainya menjadikan ia satu destinasi yang amat menarik. Alam
semulajadinya masih terjaga dan diurus dengan baik untuk mengekalkan kecantikan
dan selamat dikunjungi.
Kedudukan pulau yang tidak jauh dari
dataran utama juga merupakan faktor ia mudah dikunjungi. Untuk pergi ke
pulau-pulau tersebut hanya mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam dengan
menggunakan bot biasa.
Manakala hutan lipur terkenal pula
ialah Lata Belatan, Lata Tembakah, Kolam Air Panas La dan Jeram Sekayu yang
amat kaya dengan keindahan semula jadi dan air terjun yang menarik. Tidak kurang menarik juga ialah Tasik Kenyir
yang merupakan antara tasik buatan terbesar di Malaysia.
Selain itu keistimewaan Terengganu
juga terletak pada keindahan budaya dan tradisi yang unik, menarik serta
tersendiri. Terengganu terkenal dengan tarian ulik mayang. Makanan paling
terkenal pula keropok lekor. Manakala kerja tangan berkaitan perak, tembaga dan
emas menampilkan kehalusan seni ukir Terengganu. Berasaskan kepada ciri-ciri
tersebut Terengganu muncul destinasi utama pelancong di negara kita.
Terengganu adalah salah sebuah
daripada sembilan negeri di negara kita yang memiliki institusi beraja. Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin 1. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan
"Bendahara Padang Saujana" ialah puter Tun Habib Abdul Majid.
Mengikut buku Tuhfat al-Nafis
karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh
Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam
Shah. Sumber yang lain pula menyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas
tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
No comments:
Post a Comment