Dalam
diri manusia terdapat akal dan nafsu yang mendorong melakukan kebaikan dan
keburukan. Kedua-dua sifat itu saling mempengaruhi antara satu sama lain. Akal
membimbing manusia melakukan kebaikan, sedangkan nafsu jahat membisikkan agar
berminat kepada keburukan.
Hal
demikian meletakkan manusia sebaik-baik kejadian, yakni mampu membuat pilihan
mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT memberi peluang kepada manusia
untuk menghapus dosa melalui cara bertaubat.
Sabda
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Semua anak Adam (manusia) banyak
melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang yang
banyak bertaubat.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Bertaubat
bermaksud menyesali perbuatan mungkar dan kembali mengikut segala tuntutan
syarak. Taubat yang sebenar-benarnya akan membersihkan diri seperti tidak
pernah melakukan dosa yang berkenaan. Namun, ini tidak bermakna manusia boleh
melakukan dosa dan kemudian bertaubat secara suka-suka. Taubat yang tidak
ikhlas atau hanya di mulut saja tidak akan diterima.
Allah
SWT sentiasa mengingatkan kepada manusia agar memohon taubat kepada-Nya. Sesiapa
pernah melakukan dosa tidak sepatutnya berputus asa untuk mendapat keampunan
daripada Allah SWT.
Firman-Nya
yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang
melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah
jua yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun
lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar, ayat 53).
Melakukan
perbuatan dosa merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri di dunia dan di
akhirat. Kezaliman itu menjadi semakin berat dan berambah jika tidak mahu
bertaubat dengan segera untuk membersihkan diri.
Taubat
boleh dilakukan sepanjang masa tanpa perlu menunggu usia tua atau pada hari
tertentu sahaja. Sebaik-baik taubat ialah yang dilakukan sebaik selepas
menyedari telah melakukan dosa. Tindakan itu dapat mengelak diri terbiasa
melakukan dosa dan seronok mengulanginya hingga tidak mahu bertaubat.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan
jiwanya itu dan rugilah orang yang mengotorinya (dengan kekotoran maksiat).”
(Surah as-Syams, ayat 9-10).
No comments:
Post a Comment