Sunday, 11 April 2021

AMBIL BERKAT PERKARA BERKAITAN RASULULLAH

Logo, replika atau lambang yang direka menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi Muhammad SAW bertujuan mengambil keberkatan adalah dilarang. Perkara itu disepakati dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis yang bersidang pada Oktober 2016.

Jika hal ini dibiarkan maka berbagai-bagai replika, rajah, ilustrasi dan tangkal akan muncul seperti replika Kaabah, capal, unta, tapak kaki dan seumpamanya dengan tujuan mengambil berkat.

Ini akan membuka ruang untuk manusia membina berhala atas alasan mengambil keberkatan.

Bagaimanapun, logo yang tidak bercanggah dengan syariat Islam tanpa tujuan tabarruk seperti lambang bulan, bintang, bulan sabit, Kaabah, pokok kurma, pedang dan seumpamanya adalah dibolehkan.

Kita boleh bertabarruk dengan pelbagai ilmu dan ajaran baginda. Dari segi sunnah, adab, akhlak, adat-adat, kesemuanya tersimpan rapi dalam kitab-kitab hadis.

Berkaitan dengan lakaran capal Baginda SAW dan apa-apa yang berkait dengan Baginda SAW dan bertabarruk dengannya bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu.

Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan kerana ada sedikit persamaan sudah boleh mendatangkan semangat rindu dan kasih maka pada ketika itu cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagimana tidak bertentangan dengan prinsip syarak.

Pada masa yang sama adalah tidak harus sama sekali  untuk menjadikan keharusan tabarruk ini membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi SAW sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi yang menimbulkan fitnah kepada orang awam. 

Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam sama ada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya, maka di sinilah datangnya peranan pihak berkuasa agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan).

Hal ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW.  

Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabarruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dan berasaskan prinsip-prinsip syarak.

Dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah SAW dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda SAW. 

Pada masa yang sama menjadi kewajipan kepada kita untuk mempertahan dan membela Rasulullah SAW dalam segenap aspek dan keadaan.

No comments:

Post a Comment