Sunday, 15 December 2024

SIKAP TAMAK MANGSA BANJIR

 
Ada mangsa banjir mengadu tidak mendapat apa-apa bantuan atau sumbangan daripada mana-mana pihak. Memang perkara ini terjadi. Tidak dinafikan memang ada yang tidak terjangkau atau diketahui oleh pihak yang menghulurkan bantuan. Jumlah bantuan agak terhadap dan ada kawasan yang tidak mampu dicapai oleh penyumbang atau pengagih bantuan. Kemudahan jalan penghubung yang rosak atau lokasi terpencil menyebabkan bantuan tidak sampai.

Namun, ada mangsa yang bersifat tamak dan tidak jujur. Mereka sudah menerima bantuan seadanya, tetapi mengatakan tidak menerima apa-apa. Pada mereka, setiap bantuan yang sampai di lokasi, maka “wajib” diberikan kepada mereka. Lalu, mereka menuduh pemimpin setempat pilih kasih dan mementingkan kroni.

Tindakan mereka boleh mencemarkan nama baik seseorang dan menimbulkan rasa “resah” dan “bersalah” di kalangan penyumbang dan yang dipertanggugjawabkan untuk mengagihkan sumbangan.

Bentuk bantuan atau barangan yang diserahkan agak terhad dan berlainan jenis. Mungkin satu keluarga mendapat barangan yang berbeza berbanding jiran sebelah. Terimalah seadanya. Janganlah kerana tidak menerima seperti orang lain, sedangkan sudah menerima sumbangan dalam bentuk lain, janganlah mengatakan tidak menerima apa-apa lagi.

Kalau ada mendapat lebih, terimalah dengan rasa syukur. Ada mangsa yang telah menerima sumbangan daripada banyak pihak menyembunyikan perkara itu dengan harapan ada pihak lain pula akan memberi sumbangan. Keadaan inilah punca mengapa ada yang tidak menerima bantuan kerana telah dibolot oleh individu tamak dan tidak jujur.

Biarpun tidak semua bersikap sedemikian, tetapi inilah kadang-kadang menjadi punca ada pihak serik untuk menghulurkan bantuan. Usaha mereka ingin membantu dituduh tidak adil dan dikencam di media sosial.

Bersyukurlah apa yang diterima dan berterima kasih kepada yang sudi menghulurkan bantuan dalam apa bentuk sekalipun.   

No comments:

Post a Comment