Kaedah
tasauf memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua
sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa itu bertujuan mendidik hati individu
terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.
Penegasan
itu disentuh oleh Ibn Abidin dalam penulisannya ‘Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala
al-Dur Mukhtar Ibn ‘Abidin’ dengan memberikan ulasan: “Dan sifat kerosakan jiwa
lainnya seperti ilmu mengenai sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah
permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takbur, khianat, bermuka-muka,
menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan
lain-lainnya.
Imam
al-Ghazali (1058-1011) dalam kitab Ihya Ulum al-Din berkata: Seseorang itu
janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab ‘al-muhlikat
apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu
ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan, faktor,
tanda, dan upaya penyembuhkannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan
akan terjebak di dalamnya.”
Kesucian
dan ketenangan hati daripada nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah kunci
keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat.
Antara
kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai murni dalam diri
individu melalui pendekatan disiplin amalan sunat seperti zikir, qiamulail,
puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajud) serta amalan yang
boleh mendekatkan jiwa manusia dengan Penciptanya.
Amalan
dinyatakan itu sebahagian mekanisme bertujuan mendidik dan membersihkan hati
daripada pelbagai kotoran nilai keji (mazmumah). Keterikatan hati manusia
dengan nilai keji itu didorong nafsu syahwat boleh mengundang kepada kerosakan
potensi insan dan hubungannya dengan Allah SWT.
Islam
memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen tinggi kepada
cara hidup beragama secara sempurna. Justeru, andai kata jiwa manusia
dilingkari nilai keji maka ia perlu berusaha memperbaiki dan menyucikannya.
Jika
nilai itu tidak dapat diatasi, nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak
mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke lembah kejahatan.
Melalui latihan berorientasikan nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan
memenuhi keperluan kerangka nilai murni yang luhur.
Firman
Allah yang bermaksud: “Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah,
mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada
kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.”
(Surah al-Taubah, ayat 112)
Menurut
Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat itu adalah pujian daripada Allah SWT
terhadap hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai
balasan, golongan ini disediakan dengan syurga.
Mereka
ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan
perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan rukuk dan
sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia lain ke jalan yang baik dan
melaksanakan amal makruf nahi mungkar.
Lantaran
itu, Allah SWT menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat
sedemikian.
Nabi
SAW bersabda: “Allah berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan
Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia
menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau
dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan
orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal,
nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri
kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang
kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.” (Hadis riwayat
Muslim dan Bukhari)
Berdasarkan
kepada al-Quran dan al-Sunah, dapat difahami bahawa manusia yang dilengkapi
nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan
diredai Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa nilai murni dihayati individu
manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat
kepada persekitaran sekelilingnya.
No comments:
Post a Comment