Wednesday, 29 January 2020

KEWUJUDAN KELOMPOK MANUSIA


Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat 'kelompok' adalah himpunan (beberapa orang, binatang, benda dan lain-lain) kumpulan (yang kecil bilangannya, jumlah dan sebagainya).

Kewujudan kelompok adalah sesuai dengan tabie manusia yang suka berkongsi keperluan, minat, nilai, sikap terhadap masalah dan pelbagai perkara lain. Manusia normal tidak dapat meneruskan kehidupan tanpa berada dalam kelompok. 

Allah mencipta manusia secara kelompok supaya tolong menolong dan saling memanfaatkan antara satu sama lain. 

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sentiaslah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).

Manusia juga akan dapat memenuhi keperluan rohani dan jasmani melalui ahli kelompok. Manusia bebas untuk memilih kelompok yang sesuai dengan keperluan hidupnya. Kebebasan ini adalah satu nikmat yang besar kepada manusia. Individu yang disekat kebebasan untuk berada dalam kelompok yang diingininya akan hilang nikmat kebebasan. 

Sebab itu, salah satu konsep menghukum dan pengajaran ialah hukuman penjara. Banduan disekat daripada membentuk kelompok yang dingini, melainkan sesama banduan yang masing-masing sedang menjalani hukuman.

Ini membuktikan betapa pentingnya manusia memilih atau kebebasan menyertai kelompok sebagai satu cara hidup. 

Kelompok yang dikaitkan dengan kaunseling ialah beberapa orang (bilangan antara lima hingga 15 orang atau jumlah lain mengikut kesesuaian) dengan seorang ketua atau kaunselor.

Konsep kaunseling kelompok adalah berbeza dengan maksud kelompok secara umum. Kaunseling kelompok mementingkan interaksi dan mempunyai fungsi dan matlamat tertentu. Ia ditubuhkan secara terancang dan menetapkan ahli-ahli kelompok.

Justeru, sebarang perbincangan atau aktiviti dilakukan dalam ruang lingkup mengapa kelompok itu ditubuhkan. Jika ada sebarang lencongan fungsi atau matlamat, maka perlulah ia kembali kepada asal. Inilah pentingnya kebijaksanaan ketua atau fasilitator mengendalikan kelompok. 

Jika lencongan itu tidak dapat dikawal, elok kelompok itu dibubarkan agar matlamat awal tidak dinodai. Kelompok yang dibubarkan itu boleh menubuhkan kelompok baru berdasarkan matlamat lain, jika masih ingin kekal dalam satu kelompok. Biarpun ahli kelompok yang sama, tetapi hakikatnya ia satu kelompok yang berlainan.

Secara konsepnya penubuhan kelompok, pembubaran dan penubuhan kembali (dengan ahli kelompok yang sama) itu adalah untuk menjelaskan fungsi sebenar kelompok. Setiap ahli kena faham mengapa kelompok ditubuhkan dan dibubarkan.

Konsep kaunseling kelompok menitikberatkan interaksi ahli. Setiap ahli mendapat hak yang sama dalam kelompok dan perlu memainkan peranan sewajarnya. Jika kelompok itu pasif atau ada ahli cuba menyisihkan diri daripada kelompok, penstrukturan semula kelompok perlu dilakukan.

Perlu ditekankan di sini, kelompok yang tidak ada atau kurang interaksi antara ahli tidak layak dikenali sebagai kaunseling kelompok. Justeru, jika eleman itu tidak wujud, maka tidak perlulah kelompok ditubuhkan.

Berinteraksi, tolong menolong dan berada dalam situasi sama adalah antara sebab utama kelompok ditubuhkan. Sesungguhnya, seseorang tidak bersendirian dalam menghadapi kerumitan dalam hidupnya. Pastinya ada individu atau pihak lain yang mempunyai rasa empati dan simpati bersama. 

Seperti telah dinyatakan, hidup manusia dalam kelompok telah bermula sejak dahulu. Manusia melakukan aktiviti secara kelompok untuk mencapai keperluan bersama.

No comments:

Post a Comment