Sunday, 14 June 2020

MUDAH MELAKUKAN DOSA DI HUJUNG JARI

Kemudahan teknologi komunikasi pada hari membantu memudahkan urusan kehidupan. Namun, pada masa sama, ada pihak menyalahgunakan kemudahan teknologi komunikasi tanpa sempadan.

Keburukan ketara tekonologi internet ialah apabila menyebar maklumat tidak tepat, fitnah dan umpat keji yang mengundang keburukan besar.

Amat malang sekali terdapat sesetengah daripada kita yang amat teruja menyebarkan sebarang maklumat tanpa usul periksa demi memastikan hasratnya tercapai.  

Tidak rasa berdosakah kita menyebarkan segala data dan maklumat yang tidak betul melalui telefon bimbit atau komputer tanpa memikirkan perasaan orang lain?

Apakah kita membiarkan jari jemari kita ini digunakan untuk kemaksiatan terhadap Allah SWT? Banyak orang hari ini membuat maksiat dengan hanya hujung jari. Ketika berada di rumah atau di mana-mana sahaja.

Yang disebarkan itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan kita. Namun, disebabkan perasaan busuk hati dan hasutan syaitan, maka perbuatan dosa itu dianggap sebagai satu perkara memberi kepuasan.

Keburukan yang terhasil akibat sikap tidak bertanggunajawab itu amat tidak terjangkau untuk difikirkan. Satu hantaran atau kiriman di media sosial mungkin akan dilihat oleh jutaan manusia apabila ia ditularkan pula oleh orang lain.

Bayangkan satu berita tidak pasti atau berita fitnah telah tersebar tanpa batasan geografi, masa dan kumpulan sasar akan mempengaruhi minda dan tindakan khalayak ramai.

Ingalah! Suatu masa nanti tangan kita inilah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT atas segala tindakan yang dilakukan.

Firman Allah dalam Surah Yasin ayat 65: “Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan”.

Sesungguhnya Allah S.W.T mengurniakan kita pancaindera adalah untuk melakukan ibadah kepada-Nya bukan untuk membuat maksiat dan dosa. Jika jari dan tangan yang kita gunakan ini untuk menyakiti orang lain bererti kita telah khianat kepada amanah Allah.

Kalau dahulu kita menyakiti orang lain dengan melakukan kekerasan tubuh badan namun pada hari ini dengan kemajuan teknologi kita mudah sahaja menyakiti hati orang lain bahkan lebih memburukkan keadaan hanya dengan menyebarkan fitnah dan cacian menggunakankehebatan tangan sendiri.

Bukankah ini suatu kelemahan yang harus dipandang serius kerana sikap sedemikan boleh mengundang dosa terhadap Allah SWT. Tangan dan lisan kita ini adalah tanda iman kita kepada Allah SWT.

Gunakan ia untuk kebaikan kerana ianya adalah akhlak yang baik dan disebut banyak sekali dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

Justeru itu, sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kita agar tidak mudah melakukan dosa dihujung jari kita. Jadilah insan yang baik dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Gambar hiasan.

No comments:

Post a Comment