Liwat
merupakan istilah dalam bahasa kaum Nabi Luth (anak saudara Nabi Ibrahim) yang
disandarkan kepada amalan buruk mereka. Istilah ini kemudiannya digunakan
secara meluas dalam bahasa Arab dan bangsa-bangsa lain khususnya di kalangan
mereka yang beragama Islam.
Kisah
kejahilan kaum ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah swt dalam surah al-Araf,
ayat 80-84 dan surah Hud ayat 77-82.
Makna liwat ialah
lelaki yang menyetubuhi lelaki secara rela suka sama suka (homosexual). Adapun
tindakan seseorang lelaki menyetubuhi lelaki secara paksaan tidak juga dianggap
sebagai liwat tetapi dianggap sebagai rogol (paksaan seks).
Manakala
Dr. Musthafa Dib al-Bigha dalam kitab al-Tazhib fi adillah matan al-Ghayah
wa al-Taqrib, halaman 208 (kitab fiqh al-Syafie) mendefinisikan liwat sebagai
hubungan seks antara sesama lelaki dan juga hubungan seks antara lelaki dengan
perempuan yang bukan isterinya melalui dubur secara rela. (Sila rujuk
Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 bagi negeri Kelantan,
bahagian 1 perkara 16,17 dan 18).
Menurut
al-Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitab Tafsir Ayat
al-Ahkam (Jilid 2, hlm 41-42): Definisi liwat ialah; Lelaki yang
menyetubuhi lelaki. Liwat adalah seburuk-buruk amalan dosa yang hanya dilakukan
oleh species manusia lelaki dan tidak dilakukan oleh mana-mana species haiwan
jantan. Lantaran itu, amalan gejala-gejala keruntuhan akhlak dan tekanan
penyakit jiwa ini amat merbahaya sekali jika tidak dibendung.
Dalam
menentukan bentuk hukuman yang sewajar dikenakan terhadap mereka yang
berkenaan, para ulama’ berselisih pendapat mengenainya. Perselisihan pendapat
ini ringkasnya boleh dibahagikan kepada tiga mazhab.
Mazhab
Pertama: Para ulama seperti al-Nasir, al-Qasim bin Ibrahim dan al-Syafie
mengatakan; hukuman liwat ialah bunuh ke atas si peliwat dan juga
individu yang diliwat. Pendapat ini adalah bersandarkan kepada dalil nas hadis
Rasulullah daripada ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas, Rasulullah bersabda “Sesiapa
yang kamu dapati melakukan liwat (amalan kaum nabi Luth), maka bunuhlah si
peliwat dan individu yang diliwat”.
Berasaskan
hadis ini, al-Imam al-Syafie menegaskan hukuman liwat ialah direjam dengan batu
sampai mati ke atas mereka yang terbabit sama ada lelaki-lelaki tersebut sudah
berkahwin ataupun masih belum berkahwin. Hukuman mati ini juga diakui oleh
al-Imam Malik dan al-Imam Ahmad bin Hanbal.
Dalam
pada itu, al-Imam Malik juga berpendapat si pesalah boleh dijatuhkan hukuman
mati dengan cara dicampak ke bawah dari tempat yang tinggi.
Meskipun
begitu, terdahulu daripada ini, ijtihad Abu Bakr al-Siddiq dan Ali bin
Abi Talib dalam masalah hukuman liwat ialah dengan memenggalkan leher mereka
yang berkenaan sepertimana yang dilakukan ke atas golongan murtad ataupun
dihempap dengan dinding batu sehingga mati.
Mazhab
Kedua: Menurut golongan al-Syafieyyah, hukuman kesalahan liwat adalah
sepertimana kesalahan zina, iaitu hukuman rotan bagi mereka yang belum
berkahwin dan hukum rejam sampai mati bagi mereka yang sudah berkahwin
berasaskan nas hadis daripada Abu Musa al-‘Asy’ari, bahawa Rasulullah bersabda
“Apabila seorang lelaki menyetubuhi lelaki lain maka kedua-dua mereka adalah
penzina”.
Nas
hadis ini secara tidak langsung mengatakan liwat itu adalah aktiviti sex yang
berlaku antara sesama lelaki yang disamakan dengan kesalahan aktiviti zina
(aktiviti sex antara lelaki dan perempuan).
Nas
ini juga membuktikan bahawa aktiviti sex di mana seorang lelaki yang
menyetubuhi seorang perempuan melalui duburnya juga adalah zina dan bukan
liwat.
Adapun
dalam masalah suami yang mendatangi isterinya melalui dubur, terdapat khilaf
ulama’ dalam aktiviti tersebut sepertimana yang dijelaskan dalam
kitab Tuhfah al-‘Arus karangan al-Syeikh Muhammad bin Ahmad
al-Tijani, halaman 351-356.
Sebahagian
besar ulama seperti Ibn Sya’ban (ilmuwan besar Islam bermazhab Maliki)
mengharuskan aktiviti tersebut antara suami dan isteri berasaskan mafhum firman
Allah “ Isteri-isteri kamu adalah umpama ladang bagi kamu. Maka datangilah
mereka dengan apa jua cara yang kamu ingini”.
Ibn
Sya`ban al-Maliki merupakan pengarang kitab al-Nisa’. Antara lain, kitab beliau
yang juga popular seperti al-Zahi (kitab fiqh), Ahkam al-Quran, Manaqib Malik,
Syuyukh Malik dan al-Mansik. Ibn Sya`ban juga adalah merupakan ketua bagi para
pengikut mazhab Maliki di Mesir. Jumhur ulama’ juga mengatakan tiada sebarang
hukuman hudud ataupun ta’zir yang wajib dikenakan ke atas pasangan
suami isteri terbabit.
Mazhab
Ketiga: Menurut al-Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi), Al-Murtadha
dan al-Muayyid billah, hanya hukuman ta’zir seperti hukuman penjara
ataupun buang daerah dan sebagainya mengikut budi bicara hakim sahaja yang
wajib dikenakan ke atas mereka yang terbabit kerana aktiviti tersebut bukannya
zina dan tidak wajib dikenakan hukuman hudud ke atas si pelaku.
Mereka
berpendapat; dari sudut istilah bahasa, zina itu bukan liwat. Zina adalah
persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan. Sedangkan liwat pula adalah
persetubuhan haram antara sesama lelaki.
Di
samping itu juga Islam mengharamkan hubungan al-Sihaq (lesbian) dan
juga ityan al-bahaim (persetubuhan dengan haiwan).
Para
fuqaha’ bersepakat bahawa hukuman ke atas lesbian adalah ta’zir. Adapun
dalam masalah ityan al-bahaim, jumhur ulama menegaskan
hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas si pelaku kecuali al-Imam
Ahmad bin Hanbal yang mengatakan hukumannya adalah sama seperti hukuman liwat.
Bagi al-Imam Ahmad, si pelaku dan haiwan terbabit wajib dibunuh.
Gambar hiasan - Buah lada pahit.
No comments:
Post a Comment