Sesiapa mengucapkan perkataan insya-Allah, bermakna dia sentiasa berserah kepada ketentuan Allah. Perkataan insya-Allah sepertilah satu doa di mana mengharapkan Allah memberi kekuatan dan kejayaan menunaikan janji yang dibuat.
Namun, perkataan insya-Allah tidak boleh dipermain-mainkan. Perkataan itu perlu diucap dengan satu tekad yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk melakukan apa yang dijanjikan.
Sekiranya jika awal-awal lagi timbul perasaan tidak sesungguh hati ingin melakukan, maka wajarlah tidak diucapkan perkataan itu. Haram berjanji jika telah tersimpan niat tidak ingin menunainya atau diketahui tidak mampu melakukan.
Didapati ramai orang yang menguncapkan janji dengan perkataan insya-Allah tetapi tidak ikhlas. Perkataan insya-Allah digunakan dengan harapan orang yang dijanjikan itu menerimanya dengan yakin.
Orang yang tidak ikhlas berjanji menjadikan perkataan insya-Allah sebagai satu cara menipu. Dia merasa tidak bersalah jika tidak dapat menunaikan janji kerana kononnya telah awal-awal lagi mengatakan hanya akan dapat ditunaikan jika diizinkan Allah.
Akibatnya, perkataan baik dan mulia itu telah disalah ertikan. Orang yang mengucapkan perkataan insya-Allah dipandang tidak ikhlas untuk menunaikannya.
Orang berjanji itu seperti tidak mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Sebab itu, awal-awal lagi dia menggunakan perkataan insya-Allah sebagai alasan kegagalan memunaikan janji itu nanti.
Mengucapkan perkataan insya-Allah dengan niat tidak ikhlas samalah melakukan penipuan. Menipu atau berdusta amat besar dosanya. Setiap janji wajib ditunaikan biarpun diucapkan dengan tidak bersungguh-sungguh.
Sifat dusta dan tidak menunaikan janji adalah antara sifat orang munafik.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga perkara yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir janjinya dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Tidak menunaikan janji disebabkan terlupa atau tidak mampu menunaikannya tidak dianggap dosa. Sesuatu yang di luar kemampuan untuk dilakukan tidak dikira satu kesalahan.
Sesungguhnya, janji yang tidak ditunaikan disebabkan terlupa atau tidak mampu ditunaikan, baru menepati maksud insya-Allah.
Rasulullah menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: “Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu, tetapi dia tidak memperoleh jalan untuk menepatinya, maka tidaklah dia berdosa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi).
No comments:
Post a Comment