Friday 22 October 2021

CIRI BAJU KURUNG TELUK BELANGA

Sejarah baju kurung dikatakan bermula di negeri Johor yang dikenali baju kurung teluk belanga. Baju kurung teluk belanga dipakai sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar, iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik.

Baju kurung teluk belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.

Baju kurung teluk belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak.

Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai. 

Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

No comments:

Post a Comment