Saturday 27 November 2021

ANAK IBLIS MAHIR SESATKAN MANUSIA

Iblis mempunyai anak yang mempunyai kemahiran masing-masing untuk menyesatkan keturunan manusia, melakukan kejahatan dan membenci kebaikan. Keturunan tersebut berkembang biak dan menjalankan tugas masing-masing mengikut kepakaran masing-masing.

Setiap syaitan yang berjaya menyesatkan manusia mendapat pengiktirafan iblis.  Iblis melantik kalangan syaitan yang berjaya itu sebagai orang kanan. 

Secara mudahnya, dapatlah difahamkan organisasi syaitan juga ada pangkat dan kedudukan berdasarkan kejayaan dicapai menghasut manusia.

Niat jahat iblis dan syaitan dijelaskan kepada manusia sebagai peringatan.  Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu. Maka itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6).

Biarpun iblis begitu yakin dapat menyesatkan ramai manusia, dia tetap mengakui banyak halangan bakal dilaluinya. Iblis mengakui hamba yang benar-benar beriman dan ikhlas dalam setiap pekerjaan dilakukan semata-mata kerana Allah, tidak akan berjaya dipengaruhi olehnya.

Pengakuan iblis itu dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Iblis berkata: “Demi kebesaran-Mu, aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba-Mu yang tetap setia dan ikhlas.” (Surah Shad, ayat 82 - 83).

Jelas sekali biarpun syaitan mengaku dia lebih canggih, tetapi pada masa yang sama mengakui kekuatan manusia yang beriman. Syaitan tidak sekali-kali akan berjaya mempengaruhi orang beriman melakukan kejahatan atau dosa, melainkan ketika kelalaian menjaga tembok keimanan. 

Oleh itu, sesiapa melakukan dosa, perlu segera bertaubat bagi memperkukuhkan kembali tembok keimanan. Selain membersihkan dosa, taubat adalah tonik yang menguatkan semua ketahanan keimanan.   

Taubat boleh dilakukan sepanjang masa.  Sebaik-baik taubat dilakukan selepas menyedari melakukan dosa. Pembersihan diri daripada dosa dapat mendekatkan diri dengan Allah. Dengan cara tersebut mengelak diri daripada mudah terpedaya dengan hasutan syaitan seterusnya.

Firaman-Nya dalam surah az-Zumar ayat 53 bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Dialah jua yang mengampunkan segala dosa.”

Demi cita-cita menyesatkan manusia, syaitan akan menyusup dan menyelinap dalam semua kehidupan manusia. Semua golongan tidak kira beriman atau tidak, kaya atau miskin, cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan tua atau muda tidak terkecuali didampingi oleh syaitan.

Usaha syaitan menyesatkan manusia lebih mudah dilakukan kerana kehadiran mereka di sisi manusia tidak dapat dilihat dan dikesan. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari semua tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.” (Surah al-Araf, ayat 27). 

Gambar: Sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment