Sunday 12 February 2023

Nurul Izzah sertai Jawatankuasa Penasihat

 
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, kini menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.
 
Nurul Izzah dalam satu kenyataan menjelaskan Mohd Hassan telah mengundangnya  menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.
 
Menurutnya, dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini. Menerusi peranan baharu tersebut beliau tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
 
Anak sulung Anwar dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu menjelaskan, beliau amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
 
Beliau mengambil kesempatan bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.
 
Katanya, rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.
 
Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan terbabit akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus, berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, selain penyediaan perlindungan sosial lebih holistik.
 
Peranan jawatankuasa itu juga membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.
 
Pembentukan jawatankuasa itu diumumkan Anwar pada 7 Febuari 2023 dan setiap anggotanya tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

No comments:

Post a Comment