Tular
di media sosial mengenai Langgar Rindu yang telah mendapat pengiktirafan
'binaan paling unik' oleh pengunjung yang pernah melancong ke seluruh pelusuk
dunia.
Mengenai nama Langgar Rindu, ada orang menyebut atau menulis 'Surau
Langgar Rindu', kerana ia adalah sebuah surau yang dibina di kawasan Madrasah Al
Insan Saka Iman.
Betulkah jika menamakan 'Surau Langgar Rindu'? Apakah maksud 'langgar'?
Di kalangan kita, apabila disebut perkataan 'langgar' pasti tergambar
maksud 'pelanggaran' yang bererti 'bertembung' atau 'tidak mematuhi'.
Sedangkan ramai tidak mengetahui bahawa 'langgar' juga bermaksud surau.
Jadi nama lain bagi Langgar Rindu adalah Surau Rindu. Maka, tidak tepat juga dinamakan
'Surau Langgar Rindu' yang akan membawa maksud 'Surau Surau Rindu'.
Maksud lain bagi perkataan 'langgar' ialah kawasan pemakaman diraja.
Di negara kita ada dua tempat yang menggunakan perkataan 'langgar' secara rasmi
iaitu Makam Diraja Langgar, Kota Bharu dan Makam Diraja Langgar, Alor Star.
Alang-alang telah menulis mengenai Langgar Rindu, elok terus dicatatkan
di sini mengenainya.
Langgar Rindu yang terletak di
jalan utama Kuala Terengganu-Merang di Kampung Rhu Tapai, kini
menjadi tumpuan dari dalam dan luar negara terutama selepas ia tular di media
sosial.
Langgar Rindu pasti mampu memukau
pandangan sesiapa sahaja yang melihat struktur binaannya apatah lagi ia
diperbuat dari kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya. Ada kayu yang digunakan
itu telah berusia ratusan tahun.
Dek kerana keunikan ‘Langgar
Rindu’ yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan
Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan
video sebagai kenangan berkunjung ke Terengganu.
Selain itu, ramai pengunjung yang
menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan dan pengurusannya. Bukan Islam
juga tidak ketinggalan memberi sumbangan biarpun mengetahui ia bertujuan untuk
pendidikan Islam.
Sesungguhnya, niat ikhlas
semata-mata hanya kerana Allah akan dipermudahkan untuk mencapai apa yang
diimpikan.
Ternyata, Langgar Rindu kini
menjadi satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Terengganu, khususnya di Rhu
Tapai, Merang.
Langgar Rindu dibina oleh Abdul Karim
Embong yang juga seorang penyair dengan nama pena Arif Karimi. Jiwa seni dan keikhlasan Abdul Karim membinanya melahirkan sesuatu yang amat unik.
No comments:
Post a Comment