Wednesday 28 April 2021

Perokok dijangkiti Covid-19 berdepan bahaya lebih tinggi

Kerosakan hati, buah pinggang dan sindrom gangguan pernafasan akut adalah antara komplikasi dihadapi pesakit COVID-19 dalam kalangan perokok.

Dapatan itu diperoleh melalui kajian yang dijalankan Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Perkembangan Perubatan dan Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan (KKM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula 1 Februari hingga 31 Mei 2020.

Kajian sama juga mendapati perokok berdepan dua kali ganda risiko mendapat komplikasi jika dijangkiti COVID-19 berbanding bukan perokok.

Kajian itu membabitkan 5,889 kes COVID-19 yang dirawat di semua hospital di seluruh negara.

Perbandingan yang dibuat antara golongan perokok dan bukan perokok menunjukkan bahawa perokok berisiko hampir dua kali ganda mendapat komplikasi yang dinyatakan berbanding bukan perokok.

Penemuan hasil kajian ini selari dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 30 Jun 2020 dan kajian yang dijalankan di beberapa negara lain.

Kenyataan WHO itu serta laporan kajian beberapa negara luar juga menunjukkan merokok meningkatkan peratusan kematian dalam kalangan pesakit COVID-19.

Justeru, adalah dinasihatkan agar semua perokok untuk mengambil iktibar daripada kesan yang boleh menyebabkan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.

No comments:

Post a Comment