Kaabah
ialah Baitullah al-Haram dan ia merupakan kiblat bagi umat Islam. Allah SWT
telah menjadikan baginya beberapa kelebihan seperti hubungannya dengan dua
Rukun Islam, iaitu solat dan haji.
Tidak sah seseorang Muslim
sekiranya dia tidak menghadapkan muka ke arahnya dan tidak sah haji seseorang
sekiranya dia tidak melakukan tawaf mengelilinginya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia
(sebagai tempat beribadat) ialah Baitullah yang berada di Bakkah (Makkah) yang
diberkati dan menjadi petunjuk bagi manusia."
Tidak ada khilaf (perselisihan
pendapat) dalam kalangan ulama bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan untuk
manusia ialah Kaabah.
Ini berdasarkan hadis Abi Zar
al-Ghifari ketika beliau bertanya Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah
masjid yang paling awal dibina?” Jawab Rasulullah” “Masjidilharam.” Kemudian
beliau bertanya lagi: “Selepas itu?” Jawab Rasulullah: “Masjid Aqsa.” Beliau
bertanya: “Berapakah jarak masa antara kedua-duanya?” Jawab Rasulullah: “Empat
puluh tahun.”
Maksud “jarak masa 40 tahun” ialah
jarak di antara pembinaan tapak asas kedua-duanya. Ini menunjukkan bahawa orang
yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Kaabah bukan Nabi Ibrahim dan orang
yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Baitul Maqdis.
Jadi tidak tepat ada yang mendakwa Baitul Maqdis dibina Nabi Sulaiman. Hal itu kerana jarak masa antara
kedua-duanya adalah lebih daripada seribu tahun. Mereka berdua ialah orang yang
memperbaharui binaan kedua-duanya.
Sejarah pembinaan Kaabah dan
Masjidilharam. Kisah pembinaan Kaabah bermula sebelum Allah SWT menjadikan bumi
dan segala isinya. Perkara ini berdasarkan kepada maklumat yang disebut
dalam kitab-kitab sejarah.
Terdapat hadis sahih yang
menyebutkan bahawa Nabi SAW telah bersabda dalam khutbah pembukaan kota Makkah
yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah yang mengharamkan Makkah pada hari
penciptaan langit dan bumi.”
Makkah tidak dipilih sebagai Tanah
Haram jika tidak kerana kewujudan Kaabah padanya.
Perkara yang menjadi khilaf dalam
kalangan ulama ialah penentuan siapakah orang yang pertama membinanya, khasnya
binaan sebelum Nabi Ibrahim.
Walaupun ia disebut oleh ahli-ahli
sejarah tetapi riwayat tersebut memerlukan penelitian dan kajian yang
terperinci untuk menentukan kesahihannya.
Menurut riwayat Abu al-Walid
al-Azraqi dalam kitabnya Akhbar Makkah, Ka’ab al-Ahbar telah berkata bahawa
Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh tahun sebelum
Allah SWT menjadikan langit dan bumi dan daripadanya dihamparkan kejadian bumi.
No comments:
Post a Comment