Tuesday, 15 March 2022

GUNA PENDEKATAN AGAMA CEGAH PENYELUDUPAN

 
Aktiviti penyeludupan rentas sempadan negara melibatakan barang bersubsidi seperti minyak petrol, minyak masak, gula dan tepung gandum dibawa ke negara jiran sudah lama berlaku.

Pelbagai usaha dilakukan oleh agensi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti yang menyebabkan kerugian besar kepada kewangan negara, namun ia tidak mencapai seperti yang diharapkan.  

Timbul persoalan, adakah usaha selama ini tidak cekap atau penyeludup terlalu bijak untuk meloloskan diri melepasi sempadan negara. Hakikatnya, apa pun sebabnya, usaha lebih bersepadu dan teratur perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak terus berlaku, atau sekurang-kurangnya dapat dapat dikurangkan jumlah kerugian yang ditanggung kerajaan.

Kerajaan menyediakan subsidi untuk dinikmati oleh warganegara atau rakyat Malaysia. Kerajaan memperuntukan sejumlah wang yang banyak untuk kesejahteraan rakyat.

Secara keseluruhan, peruntukan bantuan dan subsidi dalam Belanjawan 2022 adalah RM31 bilion berbanding peruntukan RM28 bilion dalam Belanjawan 2021.

Justeru, amat rugi jika sebahagian peruntukan itu dinikmati oleh penduduk di negara jiran, sedangkan dalam hal tertentu ia menyebabkan bekalan untuk rakyat tempatan kehabisan, terutama dalam kes bekalan minyak masak bersubsidi.

Aktiviti penyeludupan ini dilakukan sama ada rakyat Malaysia sendiri, ada rakyat negara jiran.

Dalam kes kereta terbakar di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang pada 14 Mac lalu yang sedang mengisi minyak yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, dilaporkan dilakukan oleh rakyat tempatan sendiri.

Perbuatan menyeludup minyak bersubsidi ke negara jiran adalah satu pengkhianatan kepada negara. Hasil pendapatan diperoleh melalui aktiviti haram adalah haram di sisi agama.

Dengan kata lain, selain dilakukan kawalan dan penguatkuasaan, kesedaran rakyat bahawa perbuatan itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, ia juga adalah perbuatan haram dan berdosa. Memakan hasil haram akan memberi kesan buruk kepada kehidupan diri sendiri dan ahli keluarga.

Isu melakukan penyeludupan sebagai haram perlu diangkat di mimbar Jumaat dan kelas-kelas atau kuliah agama di masjid-masjid. Peringatan ini perlu diulang-ulang agar ia berkesan menumbuhkan perasaan tidak mahu melakukan perbuatan dosa yang pastinya dibalas dengan azab di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment