Saturday, 27 August 2022

CARA HALANG RUMPUT TUMBUH DI KAWASAN KEBUN

 
Rumpai (rumput dan tumbuh-tumbuhan kecil lain yang tidak berguna di kawasan yang telah diusahakan) adalah musuh kepada petani. Ia akan menyerap sebahagian zat pemakanan untuk tanaman. Maksudnya, baja yang ditabur, separuh atau lebih akan diserap atau digunakan oleh rumpai.

Bahkan, rumpai yang lebih cepat membesar akan menutup pokok yang ditanam dan boleh menyebabkan ia mati.

Penggunaan racun rumpai dianggap paling berkesan, tetapi melibatkan kos yang agak mahal dan boleh memberi kesan kepada pokok yang ditanam. Silap semburan, boleh terkena kepada pokok yang ditanam dan tentunya pokok itu turut mati.

Altenatif kepada racun, banyak penati menggunakan sumber dedaun kering, habuk kayu, serpihan kaya, plastik, kotak dan rumput kering sebagai penutup bumi atau sungkupan.

Sekarang ini petani mula menggunakan jerami sebagai sungkupan. Jerami yang dikumpulkan diikat tongkol dipanggil bale.

Dengan bahan jerami ni, kerjanya lebih ringan dan mudah untuk diaplikasikan kalau hendak dibandingkan dengan bahan sungkupan yang lain.

Sebenarnya sudah banyak negara luar yang menggunakan bahan jerami sebagai penutup bumi. Antaranya ialah Thailand. Di Eropah, mereka menggunakan jerami gandum yang dipanggil sebagai 'straw'.

Sungkapan jerami bukan sahaja mengelak benih rumpai yang berada di bawah daripada tumbuh, bahkan juga akan mengelak benih rumpai yang diterbangkan dan jatuh di atas jerami tumbuh.

Selain mengelak rumpai tumbuh, jerami juga akan mengekalkan kadar kelembapan tanah, mengelak hakisan dan mengekalkan baja yang ditabur (sebelum diletakkan jerami) daripada dibawa aliran air hujan.

Jadi, penggunaan jerami adalah pilihan terbaik untuk petani dalam menangani masalah rumpai.

No comments:

Post a Comment